metahad@hmetro.com.my
baru sedar daripada pengsan akibat dilanggar oleh peragut." title="BANTU IBU...Juliana (kanan) bersama ibunya yang baru sedar daripada pengsan akibat dilanggar oleh peragut." border="0" height="233" width="300"> |
BANTU IBU...Juliana (kanan) bersama ibunya yang baru sedar daripada pengsan akibat dilanggar oleh peragut. |
KUALA TERENGGANU: Seorang guru yang mengandung empat bulan dan dalam perjalanan ke majlis kenduri kahwin di rumah rakannya jatuh terlentang di atas jalan selepas diragut oleh dua lelaki bermotosikal.
Kejadian berlaku ketika Juliana Jusoh, 31, membonceng motosikal yang ditunggang ibunya, Sakidah Abd Kadir, 60, di Kampung Panji Alam, dekat sini, kira-kira jam 6.30 petang kelmarin.
Juliana bagaimanapun bernasib baik kerana hanya cedera ringan di tangan dan kaki, tetapi ibunya pengsan selepas terjatuh.
Ketika ditemui semalam, Juliana berkata, dia tidak menyedari sebuah motosikal mengekori sebelum menghampiri motosikal yang dinaiki bersama ibunya.
“Tiba-tiba pembonceng motosikal itu merentap beg tangan saya. Mereka kemudian melanggar motosikal kami, menyebabkan ibu saya hilang kawalan lalu kami terjatuh di jalan raya.
“Kedua-dua penjenayah itu kemudian memecut ke arah Kampung Surau Panjang. Berikutan kejadian itu, tangan dan kaki saya luka, tetapi syukur kandungan saya tidak terjejas,” katanya.
Juliana berkata, selepas dia dan ibunya terjatuh, beberapa penduduk kampung yang melihat kejadian membantu mereka dan menghubungi saudaranya sebelum dibawa ke Balai Polis Kuala Terengganu manakala ibunya dihantar ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ).
“Kami berdua bernasib baik kerana ketika itu ada kereta datang dari belakang tetapi pemandunya sempat memberhentikan kenderaan beberapa meter dari tempat kami terbaring,” katanya.
Berikutan kejadian itu, Juliana kerugian kira-kira RM600 selepas hilang wang tunai, telefon bimbit dan pelbagai dokumen penting.
Katanya, kejadian berlaku terlalu pantas dan dia tidak dapat mengingati nombor motosikal peragut itu walaupun dapat mengecam jenis motosikal digunakan.
Sementara itu, jurucakap polis ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu dan memberitahu, siasatan mengenainya dijalankan.
“Siasatan masih di peringkat awal dan kes itu kini dikendalikan bahagian siasatan jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Terengganu," katanya.
myMetro: 1 Mac 2009
Tiada ulasan:
Catat Ulasan