Selasa, 3 Mac 2009

Pengetua, warden boleh dikenakan tindakan

PUTRAJAYA 1 Mac – Kementerian Pelajaran akan mengambil tindakan sewajarnya ke atas semua pihak yang terlibat dalam kes buli membabitkan seorang pelajar sebuah sekolah menengah di Dalat, Sarawak.

Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Alimuddin Mohd. Dom berkata, pengetua sekolah atau warden juga akan dikenakan tindakan sekiranya terbukti gagal mengawal disiplin pelajar sehingga tercetusnya kes buli.

‘‘Saya tekankan bahawa saya amat serius dalam isu ini. Saya tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan sewajarnya terhadap mana-mana pihak sama ada pelajar atau pihak sekolah yang didapati gagal menjalankan tugas dengan berkesan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Beliau mengulas aksi sekumpulan pelajar sekolah yang dimuatkan dalam laman web YouTube membuli seorang pelajar lain di sebuah sekolah menengah di Dalat.

Aksi tersebut telah menarik perhatian umum apabila ia dilaporkan oleh sebuah stesen televisyen baru-baru ini.

Menurut Alimuddin, kejadian buli di sekolah berkenaan telah menguji tahap kesabaran Kementerian Pelajaran.

‘‘Gejala buli di kalangan pelajar menunjukkan pelajar semakin berani mencabar undang-undang dan tidak takut melakukan kesalahan,” katanya.

Beliau berkata, penekanan terhadap penghapusan budaya membuli sesama pelajar sekolah sebenarnya telah dilaksanakan dengan konsisten oleh kementerian.

Alimuddin mengingatkan pihak sekolah agar menekankan elemen disiplin yang perlu sentiasa terkawal dan semua guru sebenarnya perlu memainkan peranan sebagai guru disiplin.

Selain itu kata beliau, Kementerian Pelajaran memerlukan kerjasama pelbagai pihak seperti polis, pihak berkuasa tempatan (PBT) dan masyarakat keseluruhannya kerana kes buli tidak hanya berlaku di dalam kawasan sekolah.

‘‘Kawalan disiplin bukan hanya dalam kawasan sekolah semata-mata, tetapi remaja juga perlu dididik untuk mematuhi peraturan dan undang-undang ketika berada di luar kawasan sekolah,” katanya.

Utusan Malaysia Online: 2 Mac 2009

Tiada ulasan: