KUALA LUMPUR: Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) mengingatkan 150,000 ahlinya supaya berhati-hati apabila membeli skim perlindungan insurans berikutan ada kes ejen insurans tertentu sengaja menggunakan nama kesatuan itu semata-mata mahu menjual produk masing-masing.
Presidennya, Hashim Adnan, berkata ahli NUTP seharusnya mengelakkan diri daripada terpedaya dengan pujukan 'ejen terdesak' yang mahu menjual produk skim perlindungan insurans.
Katanya, pihaknya mengenal pasti tiga negeri seperti Kedah, Pulau Pinang dan Selangor sebagai kawasan yang menjadi sasaran ejen insurans tidak bertanggungjawab menggunakan NUTP sebagai pelaris produk.
"Sebelum membeli sebarang skim insurans, guru (ahli NUTP) perlu memastikan produk yang mahu diberi itu adalah skim di bawah NUTP dan ejennya berdaftar dengan syarikat berkenaan.
"Kita berharap ahli membeli skim insurans yang dilantik NUTP kerana premium yang rendah dan pulangannya pula lumayan," katanya ketika dihubungi Berita Harian, semalam.
Hashim meminta ahli NUTP memeriksa terlebih dulu latar belakang ejen insurans yang mendakwa mereka mewakili syarikat insurans dilantik kesatuan itu sebelum mengambil sebarang polisi bagi mengelakkan daripada tertipu.
"Mungkin ada segelintir ejen insurans yang 'terdesak' menjual produk mereka sehingga menggunakan pelbagai strategi, termasuk mengeksploitasi nama NUTP untuk mendapatkan pelang-gan.
"Malah, ada ejen yang sebelum ini bekerja di syarikat insurans pilihan NUTP kemudiannya berhenti kerja dan menjual produk syarikat sendiri. Keadaan ini pastinya mengelirukan apabila guru yang ingin membeli insurans masih menganggapnya sebagai ejen di bawah NUTP," katanya.
Selain itu, Hashim menasihatkan ahli yang berasa tertipu dengan ejen insurans tertentu segera membuat laporan kepada NUTP bagi membolehkan siasatan dilakukan.
Katanya, adalah lebih baik guru yang berasakan dirinya tertipu dengan skim perlindungan insurans bukan di bawah NUTP menamatkan polisi berkenaan dan segera beralih kepada skim pilihan kesatuan berkenaan berikutan faedah diterima lebih baik.
Berita Harian Online: 2 Mac 2009
Tiada ulasan:
Catat Ulasan