Khamis, 5 Mac 2009

Sekolah Terbilang: Sekolah berkualiti

Oleh Samsudin Oli Mohamed
upen@bharian.com.my




SMK Sultan BGadlishah lahir ramai tokoh, terima anugerah akademik, kokurikulum

REPUTASI cemerlang dalam bidang akademik dan kokurikulum menjadikan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sultan Badlishah, Kulim muncul antara sekolah terbaik di Kedah dan di kenali di peringkat kebangsaan.

Di bawah kepimpinan Aziziah Rasol sejak 2001, sekolah itu melakar kejayaan membanggakan, selain melahirkan ramai tokoh terbilang seawal penubuhannya pada 1948.


Antaranya bekas Menteri Penerangan, Datuk Paduka Abdul Kadir Sheikh Fadzil; bekas Pengurus Bola Sepak Kedah, Datuk Paduka Ahmad Basri Mohd Akil; bekas Ketua Hakim Negara, Datuk Abd Kadir Sulaiman, dan bekas Menteri Dalam Negeri, Allahyarham Tan Sri Megat Junid Megat Ayob.

Memperoleh Anugerah Kualiti Menteri Pelajaran pada 2004 dan 2006, Anugerah Sekolah Cemerlang Kategori Harian Bandar (2008) serta Anugerah Pengurusan Kokurikulum Peringkat Kebangsaan membuktikan sekolah itu mempunyai potensi dan kualiti dalam menghasilkan pelajar cemerlang.

Kecemerlangan dalam akademik terbukti apabila keputusan Penilaian Menengah Rendah (PMR) tahun lalu mencatatkan 143 pelajar memperoleh semua A, manakala lulus 100 peratus dalam Sijil Pelajaran Malaysia pada 2007.



Dalam bidang kokurikulum pula, sekolah itu beberapa kali memenangi pertandingan peringkat kebangsaan seperti Kadet Remaja Sekolah, perkhemahan dan unit beruniform serta pancaragam.

Aziziah berkata, kejayaan itu hasil kerja berpasukan yang ditunjukkan guru, kakitangan serta Persatuan Ibu bapa dan Guru, selain sokongan bekas pelajar sekolah berkenaan.

Katanya, kerjasama pejabat pelajaran daerah, Jabatan Pelajaran Kedah dan Kementerian Pelajaran memberi bimbingan serta sokongan dalam meningkatkan pengurusan dan pembangunan menjadi pemangkin warga SMK Sultan Badlishah meneruskan kecemerlangan.

Malah, beliau bersyukur dengan kerjasama dan disiplin tinggi ditunjukkan pelajar sekolah itu membantu pihak pengurusan mengurus dengan berkesan.

Puzer Muhamad

Sementara itu, Penolong Kanan Pentadbiran, Puzer Muhamad, berkata pihaknya berusaha mengekalkan kecemerlangan dalam memastikan pelajarnya menjadi modal insan berguna kepada masyarakat.

Katanya, beberapa strategi disusun supaya matlamat ditetapkan tercapai. Dengan komitmen guru, Puzer percaya sekolah berkenaan mampu mengekalkan prestasi dan menjadi institusi disegani bukan saja di Kedah, bahkan di peringkat kebangsaan.

“Rentetan kejayaan dicapai, masyarakat akan terus mengenali SMK Badlishah sebagai sekolah berprestij,” katanya kepada Berita Harian, baru-baru ini.

Guru sekolah berkenaan, Hisyamudin Samsudin, berkata mereka memberikan komitmen tinggi dalam bidang masing-masing untuk menjana kecemerlangan sekolah.

Beliau yang juga guru penyelaras Formula One in School, berkata sekolahnya pernah memenangi pertandingan itu di peringkat zon utara, sekali gus memenangi anugerah ‘Innovative Thinking’.

“Berkat kerjasama jitu, tidak mustahil bagi kami untuk mengekalkan pencapaian dimiliki,” katanya.

Berita harian Online: 4 Mac 2009

Tiada ulasan: