Khamis, 5 Mac 2009

ADD bantu guru tingkat pengajaran

Oleh Tamrin Anuar
upen@bharian.com.my


FADILAH (kiri) menjelaskan kepada peserta bengkel ADD mengenai kelebihan akhbar Berita Harian sebagai bahan bantu mengajar, selepas merasmikan program berkenaan di Jitra, baru-baru ini.

PENGGUNAAN akhbar sebagai bahan bantu mengajar masih relevan dan berkesan, walaupun pelajar kini didedah pelbagai alat canggih dan interaktif, sekali gus menjadikan pengajaran dan pembelajaran (P&P) lebih menarik dan aktif.

Akhbar memiliki tarikan kepada pelajar menerokai ilmu dan maklumat menerusi kemahiran mengecam, mengenalpasti bahan dan membaca, selain kegiatan menggunting serta menampal untuk tujuan pembelajaran.

Pegawai Pendidikan Daerah (PPD) Kubang Pasu, Kedah, Fadilah Samat, berkata akhbar mengandungi berita, rencana, gambar, iklan serta grafik dapat disesuaikan dengan kehendak kurikulum untuk semua mata pelajaran.

“Ia membantu guru meningkat P&P dan memperkembangkan potensi, minat serta bakat pelajar secara menyeluruh.

“Pengajaran menggunakan akhbar mengubah kaedah pembelajaran berpusatkan guru, sekali gus mendorong pelajar melakukan banyak kegiatan menerusi bahan itu,” katanya ketika berucap merasmikan Bengkel Akhbar Dalam Darjah (ADD), di Pusat Ilmu Ishaqiah, Pulau Pisang, Jitra, baru-baru ini.

Bengkel anjuran PPD Kubang Pasu dengan kerjasama Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Pulau Nyior, Jitra disertai 150 guru dari sekitar daerah itu.

Hadir sama Pengetua SMK Pulau Nyior, Latipah Kasim.

Sementara itu, peserta Azmawati Ab Wahab dari SMK Pulau Nyior, berkata pendekatan Berita Harian amat menarik dan meningkatkan ilmu pedagogi khususnya teknik mengajar berkesan menerusi konsep ADD.

Katanya, selain menanam tabiat membaca di kalangan pelajar, pendekatan dipopularkan akhbar itu menepati konsep pengajaran berpusatkan pelajar, bukan berfokus guru seperti yang sering terjadi apabila menggunakan buku teks.

Rakannya, Nurhayati Ahmad dari SMK Jitra pula, berkata menggunakan akhbar menukar suasana bilik darjah supaya tidak bergantung kepada papan hitam dan buku teks, sekali gus pelajar tertarik dengan pembelajaran dijalankan.

Beliau berkata, ADD juga membantu meringankan beban guru, khususnya menyediakan bahan bantu mengajar bermutu serta terkini dan menarik.

Berita Harian Online: 4 Mac 2009

Tiada ulasan: