Khamis, 5 Mac 2009

Johor: JPNJ pastikan aktiviti sekolah patuhi peraturan

JOHOR BAHRU: Jabatan Pelajaran Negeri Johor (JPNJ) akan memastikan agensi kerajaan dan bukan kerajaan yang berminat mengadakan aktiviti di sekolah atau di luar mematuhi peraturan yang ditetapkan Kementerian Pelajaran.

Pengarah Pelajaran, Sufaat Tumin, berkata sehingga kini terdapat lima surat pekeliling dikeluarkan Kementerian Pelajaran berkaitan kegiatan yang boleh dirujuk oleh agensi terbabit, dengan semua ketetapan itu perlu dipatuhi.

Beliau berkata, peraturan itu antara lain menyentuh pembabitan murid dengan agensi luar, tajaan oleh badan perniagaan di sekolah, kebenaran membuat promosi, penggambaran dalam kawasan sekolah dan pembabitan guru dalam agensi luar terutama pakaian seragam.

“Kami bertanggungjawab memastikan agensi yang berminat, memahami dan mematuhi prosedur dan peraturan ditetapkan.

“Bagi pelajar dan guru yang menyertai aktiviti itu pula, kita mesti pastikan mereka selamat dan tidak terdedah kepada risiko atau masalah,” katanya pada Majlis Permuafakatan JPNJ bersama Agensi Kerajaan dan Bukan Kerajaan, di sini, kelmarin.

Sufaat berkata, kementerian melihat minat dan kerjasama yang mahu dijalin oleh agensi luar itu sebagai suatu yang positif, sekali gus memberi peluang kepada sekolah terutama guru dan pelajar membabitkan diri dalam lebih banyak aktiviti bermanfaat di luar sekolah.

Pada sesi dialog kemudian, Sufaat memberi beberapa contoh program rakaman rancangan televisyen yang dijalankan dalam kawasan sekolah, dengan perkara paling utama yang perlu dipatuhi adalah krew dan artis yang mesti bersopan santun, menjaga pergaulan ketika dalam kawasan sekolah dan berpakaian kemas.

Berita harian Online: 5 Mac 2009

Tiada ulasan: