Selasa, 3 Mac 2009

Murid tak tahan kena buli buat laporan

KUALA TERENGGANU: Seorang pelajar lelaki Tingkatan Empat Sekolah Menengah Kebangsaan Merchang, Marang yang tidak tahan dibuli beberapa pelajar di asrama sekolah itu sejak dua minggu lalu membuat laporan polis, Rabu lalu.

Mangsa berusia 16 tahun dari daerah Marang mendakwa cedera di kepala akibat dihantuk di dinding dan dipukul seorang seorang pelajar sekolah itu, kira-kira jam 9.30 pagi pada hari berkenaan.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Asisten Komisioner Mohd Fauzi Abduri, berkata mangsa dipanggil dua pelajar Tingkatan Empat dan Lima yang mengarahkannya ke tingkat tiga bangunan sekolah itu untuk berjumpa mereka kira-kira jam 8 pagi.

Beliau berkata, mangsa mendakwa ditendang dan ditumbuk seorang daripada pelajar terbabit berhampiran tandas sekolah.

Mohd Fauzi berkata, selepas itu, pelajar sama meminta mangsa bertemu dengannya sekali lagi dan bertindak menumbuknya.

Katanya, seorang guru sekolah itu yang mendapat tahu kejadian itu membawa mangsa untuk mendapat rawatan di klinik Merchang Rabu lalu.

Mohd Fauzi berkata, sebelum ini pada 23 Februari lalu, suspek pernah memukul mangsa di sekolah berkenaan.

Beliau berkata, polis menjalankan siasatan mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana menyebabkan kecederaan dengan sengaja.

Berita Harian Online: 2 Mac 2009

Tiada ulasan: