Jumaat, 6 Mac 2009

SMK Bandar Baru Uda sasar muncul sekolah menengah contoh

JOHOR BAHRU 4 Mac - Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bandar Baru Uda menyasarkan untuk muncul sekolah menengah contoh di kalangan sekolah bukan berasrama dan sekolah terpilih bagi daerah ini menjelang 2014.

Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) sekolah berkenaan, Datuk Samsol Bari Jamali berkata, sasaran itu boleh dicapai memandangkan pencapaian akademik, kokurikulum dan aktiviti kerohanian yang diadakan di sekolah tersebut adalah seimbang.

Menurutnya, SMK Bandar Baru Uda yang diketuai oleh Pengetuanya, Fauziah Dawam telah berjaya mewujudkan suasana sekolah yang kondusif, hubungan komuniti yang harmoni serta pembentukan sahsiah pelajar yang cemerlang.

"Pada dasarnya saya cukup bangga kerana sekolah yang baru berusia 13 tahun dan lebih muda jika dibandingkan sekolah-sekolah lain telah menunjukkan pencapaian akademik yang amat memberangsangkan.

"Sekolah ini bukan kategori sekolah berasrama penuh dan bukan sekolah terkawal tetapi jika diamati pencapaian akademik, kokurikulum, sukan dan kegiatan komuniti menunjukkan peningkatan dari tahun ke tahun sama ada di peringkat daerah, negeri, kebangsaan malah antarabangsa," katanya.

Samsol yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Semarang berkata demikian ketika berucap mempengerusikan Mesyuarat Agung ke-13 PIBG SMK Bandar Baru Uda di sini baru-baru ini.

Utusan Malaysia Online: 5 Mac 2009

Tiada ulasan: