Sabtu, 10 Oktober 2009

1,672 calon PMR di Gua Musang

GUA MUSANG – Seramai 127 calon Orang Asli menduduki peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR) seluruh daerah Gua Musang pada tahun ini.

Pegawai Pelajaran Daerah (PPD), Muhammad Zahari Othman berkata, ianya sebahagian daripada keseluruhan calon di daerah ini iaitu seramai 1,672 di 13 pusat peperiksaan.

Menurutnya, seperti mana peperiksaan Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) lalu, pelajar yang menduduki peperiksaan PMR juga telah diagihkan dengan topeng muka untuk digunakan sepanjang peperiksaan berlangsung bermula 7,8,9,12 dan 13 Oktober depan.

“Sebanyak 22,5000 topeng telah diagihkan kepada semua sekolah menengah dalam daerah Gua Musang.

“Di samping itu, semua pusat peperiksaan telah dibekalkan dengan ‘sanitizer’ dan termometer bagi menjamin kebersihan diri dan mengesan suhu badan calon sebelum masuk ke dewan peperiksaan,” katanya kepada Sinar Harian.

Muhammad Zahari berkata, sebanyak RM27,800 diperuntukkan untuk menyediakan segala kemudahan ini.

Menurutnya, sebelum ini pihak PPD telah turut mengadakan majlis solat Hajat peringkat daerah bertempat di surau Sekolah Menengah Kebangsaan Tengku Indra Petra Dua pada 5 Oktober lalu dengan dihadiri pihak sekolah dan juga Persatuan Ibu bapa dan guru seluruh daerah Gua Musang.

“Saya mengharapkan semua calon menghadapi peperiksaan PMR dengan tenang seterusnya beroleh keputusan cemerlang dan membanggakan.

“Semua pihak juga diminta agar sama-sama mendoakan kecemerlangan pendidikan di Gua Musang,” katanya.

Sinar Harian: 10 Oktober 2009

Tiada ulasan: