Oleh Rafidah Mat Ruzki
fidahruzki@bharian.com.my
Jalan depan sekolah sentiasa sibuk termasuk diguna kenderaan berat, dipandu laju
KLANG: Kedudukan Sekolah Kebangsaan (SK) Meru Dua, Jalan Paip, Meru yang jauh dari penempatan sepatutnya lebih memudahkan kerana lalu lintas ke sekolah itu lengang dan tidak membahayakan keselamatan murid.
Namun, bagi murid dan ibu bapa serta guru di sekolah itu, mereka masih tidak boleh menarik nafas lega berikutan risiko kemalangan jalan raya, apabila jalan utama ke sekolah itu sentiasa sibuk dengan lori tanah dan treler kontena.
Jika dulu, Jalan Paip di Kampung Haji Mohd Sarif, hanya jalan kampung dua hala yang menghubungkan penduduk dengan Pekan Meru, ia kini menjadi pilihan ramai pengguna untuk ke Shah Alam dan Subang, tanpa perlu melalui Klang dan bandar raya Shah Alam.
Tinjauan wartawan Sentral di laluan masuk ke SK Meru Dua dan ke lapang sasar Kelab Penembak Bandar Diraja Klang, di kawasan kebun kelapa sawit kira-kira satu kilometer dari sekolah itu mendapati kebanyakan ibu bapa menghadapi kesukaran keluar masuk berikutan ramai pemandu yang melalui Jalan Paip memandu laju.
Jika tidak kerana sikap prihatin seorang ahli Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) sekolah, Alizan Selamat, 47, yang mengawal lalu lintas di persimpangan masuk ke sekolah itu, sudah pasti ibu bapa murid dan guru lebih sukar untuk keluar masuk.
Suri rumah, Jazlinda Mohd Jaafar, 38, mengakui sukar untuk keluar masuk dari Jalan Paip bagi menghantar dan menjemput dua anaknya yang bersekolah di SK Meru Dua.
"Bagi saya yang memandu kereta mungkin tidak sesukar ibu bapa yang datang menghantar dan menjemput anak mereka dengan menunggang motosikal. Keadaan jalan yang rosak juga menyukarkan lagi ibu bapa," katanya.
Beliau berkata, ibu bapa yang terpaksa meletakkan kenderaan di tepi jalan sempit di hadapan sekolah itu serta murid yang menunggu ibu bapa atau kenderaan sekolah menjemput mereka selepas waktu persekolahan sering terdedah kepada bahaya dilanggar kenderaan dipandu laju.
"Kalau boleh, saya harap ada pihak membina bonggol di laluan hadapan sekolah ini untuk memastikan pengguna ke lapang sasar memperlahankan kenderaan," katanya.
Pengerusi PIBG sekolah itu, Hashim Galip, berkata keadaan jalan kampung yang turut digunakan pengguna jalan raya yang bukan menetap di kampung itu sebagai jalan pintas untuk ke Jalan Meru atau ke Jalan Batu Arang, menyebabkan keselamatan kira-kira 1,100 murid dan guru di sekolah itu terancam.
Katanya, masalah Jalan Paip turut diguna kenderaan besar sehingga menyebabkan jalan itu rosak turut mengancam keselamatan ibu bapa yang menghantar dan menjemput anak masing-masing berikutan mereka terpaksa mengelak jalan berlubang.
Hashim berkata, beliau pernah mencadangkan kepada pihak berkuasa tempatan supaya jalan ban bersebelahan parit yang memisahkan Jalan Paip dengan sekolah itu dinaik taraf bagi membolehkan ibu bapa murid menggunakannya, namun selepas tiga tahun, belum ada tindakan.
Berita Harian Online: 12 Oktober 2009
Tiada ulasan:
Catat Ulasan