Khamis, 8 Oktober 2009

385 pelajar SMKTIP Satu duduki PMR

GUA MUSANG – Seramai 385 pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Tengku Indra Petra Satu (SMKTIP1) di sini, termasuk 56 pelajar Orang Asli menduduki Penilaian Menengah Rendah (PMR) semalam.

Penolong Kanan Hal Ehwal Murid, Azuri Hamzah berkata, jumlah pelajar sekolah tersebut yang menduduki PMR pada tahun ini hampir sama dengan tahun lalu.

“Jumlah pelajar Masyarakat Orang Asli yang menduduki PMR tahun ini agak berkurangan berbanding tahun lalu seramai 114 orang.

“Berdasarkan kepada peperiksaan percubaan lalu, jumlah peratusan agak merosot berbanding tahun lalu, bagaimanapun pelbagai usaha dilaksanakan pihak sekolah setelah keputusan percubaan diumumkan,”katanya kepada :Sinar Harian:, semalam.

Azuri berkata, pihak sekolah turut memberikan penekanan kepada pelajar Orang Asli bagi meningkatkan lagi peratusan yang akan dicapai SMKTIP1 nanti.

Menurutnya, pagi semalam ada juga segelintir ibu bapa yang menghantar anak-anak ke sekolah sebagai sokongan moral untuk anak-anak mereka yang berdepan dengan peperiksaan.

“Tahun ini semua pelajar dapat menduduki peperiksaan di Pusat Peperiksaan sekolah, setakat ini semua pelajar tidak berdepan dengan masalah kesihatan.

“Pihak sekolah bersedia bagi berdepan dengan pelajar yang mempunyai masalah kesihatan sepanjang peperiksaan berlangsung bermula 7 hingga 13 Oktober nanti,” katanya.

Sinar Harian: 8 Oktober 2009

Tiada ulasan: