GERIK - Sekolah Menengah Kebangsaan Sultan Idris Shah Dua (SMKSIS 2) baru-baru ini, mengadakan solat Hajat serta bacaan Yasin beramai-ramai melibatkan semua guru dan pelajarnya di dewan sekolah berkenaan.
Pengetua SMKSIS 2, Hasmah Hashim berkata, majlis itu adalah penutup kepada pelbagai usaha yang dilakukan pihak sekolah sepanjang tahun demi untuk memastikan pelajar berjaya dalam setiap peperiksaan yang bakal dihadapi nanti.
“Pihak sekolah dan pelajar, masing-masing telah banyak berusaha dengan menggunakan bermacam-macam kaedah untuk mempertingkatkan prestasi bagi menghadapi peperiksaan penting.
“Majlis ini melibatkan semua pelajar yang bakal menduduki peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR), Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) tidak lama lagi,” katanya ketika ditemui selepas acara solat Hajat dan bacaan Yasin di SMKSIS 2, baru-baru ini.
Hasmah berkata, dalam persediaan sepanjang tahun yang dijalankan pihak sekolah, banyak kelas tuisyen diadakan untuk pelajar demi memastikan kejayaan mereka.
Katanya, antara usaha lain ialah tiga peperiksaan yang diadakan untuk mengenal pasti pelajar berpotensi mendapat semua A dalam semua mata pelajaran.
“Perlu untuk semua pelajar dan juga ibu bapa tahu bahawa Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) mempunyai target bagi setiap sekolah. Untuk SMKSIS 2, target yang ditetapkan adalah 27 pelajar PMR dan lapan pelajar SPM mendapat semua A dalam mata pelajaran diambil, manakala 100 peratus dalam STPM.
“Pihak sekolah sendiri telah menjalankan pelbagai usaha termasuk memberikan insentif kepada pelajar termasuk memapar gambar mereka sebagai pelajar cemerlang dan memberikan anugerah khas,” katanya.
Beliau turut memaklumkan bahawa antara insentif khas yang diberikan pihak sekolah bagi menaikkan motivasi pelajar adalah menganugerahkan lencana khas kepada pelajar yang mendapat keputusan A dalam semua mata pelajaran.
Menurutnya, untuk mengekalkan atau mempertingkatkan prestasi yang pernah dicapai, peranan daripada semua pihak amat penting.
“Melalui peperiksaan yang telah diadakan, didapati terdapat peningkatan dalam peratus kelulusan pelajar, contohnya peperiksaan PMR yang telah mencapai 29.61 peratus berbanding 21.31 peratus pada tahun lepas.
“Juga terdapat seorang pelajar mendapat keputusan A penuh dalam peperiksaan percubaan lepas dan jumlah ini mungkin meningkat berikutan pada kebiasaannya, prestasi pelajar akan lebih baik pada peperiksaan sebenar,” katanya.
Beliau berkata, peperiksaan pertengahan tahun baru-baru ini, berjaya mencapai 73 peratus kelulusan berbanding sasaran yang ditetapkan PPD iaitu 96 peratus untuk semua peperiksaan penting.
Sinar Harian: 8 Oktober 2009
Khamis, 8 Oktober 2009
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan