Khamis, 8 Oktober 2009

Lebih 1,000 warga SK Ketereh rai Aidilfitri peringkat sekolah

KETEREH - Lebih 1,000 warga Sekolah Kebangsaan (SK) Ketereh meraikan sambutan hari raya Aidilfitri peringkat sekolah berkenaan, yang diadakan di Medan Perhimpunan sekolah berkenaan di sini, baru-baru ini.

Guru besarnya, Che Ragmah Mustapaha berkata, bilangan tersebut melibatkan 927 murid, 62 guru, dan 13 kakitangan sekolah berkenaan selain jemputan khas dari jabatan dan agensi di sekitar sekolah itu.

“Sambutan pada kali ini agak besar dan meriah berbanding tahun-tahun sebelumnya, pada kali ini pihak sekolah menyediakan enam buah khemah mewakili enam tahun murid di sekolah ini,” katanya kepada Sinar Harian ketika ditemui pada majlis berkenaan.

Ragmah berkata, pelbagai juadah hari raya disediakan guru-guru dan dibawa murid- murid untuk dinikmati bersama pada hari itu.“

“Selain itu, kami juga mendapatkan pandangan murid-murid dari segi hidangan utama yang mereka ingin nikmati selain dari kek dan biskut raya yang dibawa.

“Kita mahu mereka rasa majlis ini majlis mereka, jadi kita bagi peluang kepada mereka menentukan hidangan yang ingin dimakan pada hari itu, dan mereka sepakat memilih hidangan nasi ayam masak merah, “ katanya.

Ragmah berkata, semangat dan kesungguhan yang ditunjukkan guru- guru sekolah berkenaan banyak menyumbang kepada kejayaan majlis yang dirancang dua hari sebelum berlangsung itu.

“Kami merancang untuk mengadakan majlis ini minggu hadapan kerana bimbang tidak sempat membuat persiapan.

“Tetapi kerjasama yang diberikan guru-guru dan semua warga sekolah menghasilkan kejayaan pada program julung-julung kali diadakan ini, “katanya.

Ketika mengulas mengenai tujuan lain diadakan sambutan berkenaan, Ragmah berkata, ia diadakan bagi merapatkan silaturahim di kalangan murid- murid, guru dan ibu bapa.

“Bila ibu bapa tengok kita buat program untuk anak- anak mereka, membuktikan betapa kita menghargai dan menyayangi anak- anak mereka, secara tidak langsung akan membentuk satu hubungan yang baik di antara semua pihak.

“Kita perlukan sokongan dan kerjasama daripada ibu bapa dan penjaga murid- murid ini agar segala masalah yang dihadapi dapat di selesaikan dengan sebaiknya, kalau ada rezeki saya mahu bawa ibu bapa sekali meraikan sambutan hari raya bersama para guru dan anak- anak mereka, “ katanya.

Sementara itu, difahamkan sekolah berkenaan mensasarkan seramai 39 dari 160 calon Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) sekolah berkenaan bakal memperoleh 5A dalam ujian itu nanti.

Sinar Harian: 8 Oktober 2009

Tiada ulasan: