Khamis, 8 Oktober 2009

Sekolah boleh ambil cuti ganti sempena Deepavali

PUTRAJAYA: Semua sekolah dibenarkan mengambil cuti peristiwa atau cuti berganti pada 20 Oktober ini sempena sambutan Deepavali pada 17 Oktober ini.

Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Pelajaran, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata bagaimanapun, kebenaran cuti itu hanya diberikan kepada sekolah yang memohon dan bukan kelulusan keseluruhan.

"Selepas meneliti permohonan dan pandangan yang dikemukakan, Kementerian Pelajaran bersetuju untuk memberi kebenaran kepada sekolah mengambil cuti peristiwa bagi yang mempunyai baki cuti peristiwa dan cuti berganti bagi sekolah yang sudah habis baki cuti peristiwa," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melawat pusat pemeriksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR) di Sekolah Menengah Kebangsaan Presint 8(1) di sini bagi meninjau perjalanan peperiksaan itu yang bermula semalam.

Beliau berkata, keputusan itu diambil bagi memudahkan ibu bapa membuat perancangan untuk balik kampung dan mengelakkan kesesakan lalu lintas ketika musim perayaan.

Katanya, sekolah yang mengambil cuti berganti pada 20 Oktober ini perlu menggantikan hari persekolahan pada 31 Oktober depan.

Muhyiddin juga berkata, peperiksaan PMR berjalan dengan baik, manakala wabak selesema babi (H1N1) dapat dikawal dan mengingatkan bahawa langkah pencegahan perlu terus dilaksanakan.

Seramai 475,182 calon menduduki peperiksaan PMR di seluruh negara bermula semalam sehingga Selasa depan membabitkan 442,611 calon kementerian, manakala bakinya ialah calon swasta, persendirian, Maktab Rendah Sains Mara, Sekolah Perantis Tentera, Sekolah Agama Rakyat dan Sekolah Agama Negeri.

Sebanyak 3,496 pusat peperiksaan disediakan membabitkan 28,028 petugas bagi mengendalikan peperiksaan itu.

Berita Harian Online: 8 Oktober 2009

Tiada ulasan: