KOTA BHARU – Akibat kemiskinan keluarga, dua beradik di Tanjong Mas, di sini terpaksa berkongsi buku teks bersama kawan sekelas kerana tidak mampu membelinya.
Nasib malang berkenaan dialami Norzihan Sukri, 14, dari sebuah sekolah menengah di Tanjong Mas bersama adiknya Siti Nor Shuhada Sukri, 11, juga dari sekolah rendah di kawasan sama.
Bapanya, Sukri Abdullah, 47, berkata, dia tidak mempunyai sumber kewangan yang mencukupi kerana hanya bergantung pada jualan kotak-kotak terbuang yang dikutip setiap hari sebelum dijual.
“Setiap hari saya keluar pagi untuk mengutip kotak dan dalam tempoh sehari saya hanya mendapat RM5 sahaja.
“Hasil inilah yang saya gunakan untuk membeli beras dan sedikit lauk pauk untuk kami 10 beranak,” katanya kepada Sinar Harian di Tanjung Mas, kelmarin.
Kesusahan hidup keluarga itu mendapat perhatian ahli perniagaan Khazuni Datuk Othman dengan menghulurkan bantuan kewangan.
Menurutnya, isterinya, Wan Nora Wan Mat, 40, tidak bekerja kerana perlu menjaga anak-anak di rumah memandangkan anak-anak masih kecil dan tidak mampu berdikari.
“Walaupun hujan dan panas saya perlu keluar mencari kotak demi anak-anak saya dan salah seorang anak saya terpaksa berhenti sekolah kerana kemiskinan keluarga.
“Anak kedua saya berhenti sekolah kerana malu akibat pernah diejek gurunya di hadapan pelajar lain kerana tidak mampu membayar yuran dan saya akui ini kerana masalah kewangan,” katanya.
Sukri berkata, dia pernah menyuarakan masalah itu tetapi dimaklumkan pihak sekolah tidak mempunyai bekalan buku mencukupi dan anaknya mengharapkan simpati kawan-kawan untuk belajar.
Sementara itu, Khazuni meminta pihak berkaitan untuk turun padang melihat sendiri kesusahan yang dihadapi keluarga berkenaan.
“Saya berharap ada pihak yang bersimpati dengan nasib keluarga ini terutamanya pendidikan anak-anak mereka yang masih perlu menjalani alam persekolahan seperti kanak-kanak lain.
“Mereka yang berkemampuan dibantu tetapi anak-anak yang betul-betul memerlukan bantuan terabai, kenapa mereka dipinggirkan sedangkan sepatutnya golongan ini dibela bukan disisihkan,” katanya.
Sinar Harian: 8 Oktober 2009
Khamis, 8 Oktober 2009
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan