Khamis, 8 Oktober 2009

Kerjasama, sokongan ibu bapa asas kejayaan anak Orang Asli

SIMPANG DURIAN - Kesungguhan dan sokongan diberikan Orang Asli terutama dalam kalangan ibu bapa banyak membantu kejayaan Sekolah Kebangsaan (SK) Putra meningkatkan prestasi sekolah dari segi akademik atau kokurikulum.

Guru besarnya, Bahiah Abu Zarin berkata, tahap kesedaran golongan ibu bapa Orang Asli terhadap kesungguhan menghantar anak mereka ke sekolah wajar diberi pujian kerana mereka semakin memahami tentang pentingnya pendidikan untuk merubah kehidupan anak mereka.

:Menurutnya, bagaimanapun, terdapat sesetengah golongan ibu bapa Orang Asli belum menyedari kepentingan pendidikan pada masa kini menyebabkan kedata-ngan anak mereka ke sekolah adalah bermusim.

“Oleh itu, saya berharap agar golongan ibu bapa Orang Asli akan dapat memberikan kerjasama dan sokongan padu kepada pihak sekolah terutama dari segi aspek pendidikan anak dengan menggalakkan anak mereka ke sekolah.

“Sekolah ini menyediakan kemudahan seperti asrama untuk memudahkan anak Orang Asli mendapat pendidikan dan tidak perlu berulang-alik ke rumah jauh di pedalaman,” katanya.

:Terbaru, SK Putra berjaya merangkul Anugerah Sekolah Cemerlang Kategori Asli Peringkat Kebangsaan buat pertama kali sejak 14 tahun sekolah itu ditubuhkan untuk mendidik dan memenuhi keperluan pembelajaran sekolah rendah murid Orang Asli.

:Sementara itu, Guru Penolong Kanan Kokurikulum, Rugayah Othman berkata, dia gembira kerana kerjasama dan sokongan diberikan ibu bapa Orang Asli terhadap aktiviti sekolah untuk membina peribadi dan sahsiah anak mereka semakin baik setiap tahun.

Menurutnya, golongan ibu bapa tidak pernah menghalang penyertaan dan minat anak mereka untuk turut serta dalam sebarang program sekolah termasuk program keagamaan, walaupun mereka bukan beragama Islam.

“Sebagai contoh menerusi program khatam al-Quran, ibu bapa Orang asli tidak menghalang pihak sekolah melibatkan anak mereka sebagai penonton untuk memberi pendedahan tentang budaya hidup Islam.

“Oleh itu, saya berharap sokongan ini dapat diteruskan kerana mampu menjadi benteng persediaan untuk anak mereka mengharungi kehidupan lebih mencabar pada masa hadapan berbekalkan ilmu pengetahuan,” katanya.

Sinar Harian: 8 Oktober 2009

Tiada ulasan: