ALOR SETAR - Satu pendekatan diambil Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seberang Perak dengan mengadakan satu program yang diberi nama ‘English Year Program’ bagi menjadikan pelajar sekolah itu mahir bertutur dan menulis dalam bahasa Inggeris.
Pengetua SMK Seberang Perak, Ismail Ibrahim berkata, program itu bukan diadakan setahun sekali malah ia adalah satu program berterusan dan dijadikan sebagai rutin harian pelajar di sekolah tersebut.
Katanya, pihak sekolah menyediakan kamus yang mengandungi ayat yang digunakan dalam perbualan harian dan buku tersebut adalah hasil daripada pengetua serta guru bahasa Inggeris sekolah tersebut.
“Selain buku rujukan yang kita berikan kepada pelajar, pihak sekolah turut menyediakan satu sudut ‘Vocabulary Corner’, ‘Scrible Corner’ dan sudut berkaraoke lagu Inggeris pada waktu rehat.
“Apabila hari Sabtu saya akan mengajak beberapa pelajar hadir ke sekolah bukan untuk mengikuti kelas Bahasa Inggeris tetapi saya mengajak mereka bersembang dalam tempoh dua ke tiga jam dalam bahasa Inggeris,” katanya.
Beliau berkata, melalui kaedah yang digunakan ini kemahiran pelajar dalam menguasai bahasa Inggeris meningkat dan ini membuktikan kaedah yang digunakan juga sangat berhasil kerana walaupun pelajar itu lemah dalam mata pelajaran berkenaan, namun selepas program diadakan mereka dapat menguasainya dengan cepat.
Ismail berkata, dengan adanya program seperti ini ia secara langsung dapat menangkis perasaan malu pelajar itu untuk berkomunikasi dalam bahasa Inggeris.
Katanya, program ini juga tidak akan berakhir kerana beliau mahu memastikan kesemua pelajarnya mahir bertutur dan menulis dalam bahasa Inggeris.
Selain itu, katanya, program ini bukan sahaja dijayakan oleh beliau sahaja malah ia turut dijayakan dan disertai guru bahasa Inggeris dan persatuan bahasa Inggeris sekolah itu.
Sinar Harian: 8 Oktober 2009
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan