KUALA LIPIS - ‘Melentur buluh biarlah dari rebungnya’, itulah perumpamaan yang bersesuaian bagi membentuk serta melahirkan pelajar serta perintis negara pada masa hadapan dalam memupuk perpaduan dan integrasi.
Melalui program Rancangan Integrasi Murid Untuk Perpaduan (Rimup) yang diwujudkan kerajaan beberapa tahun lalu, banyak program dianjurkan bagi menjayakan hasrat kerajaan ini.
Guru Besar Sekolah Kebangsaan Wan Ibrahim (SKWI), Hasami Mohamad berkata, program terbar diadakan melibatkan tiga sekolah daripada tiga kaum utama iaitu kaum Melayu, Cina dan India, adalah program 1Malaysia.
Menurutnya, pengisian program ini menyeluruh kepada pembentukan integrasi dan penjagaan kesihatan serta menjauhi penyalahgunaan dadah.
“Usaha ini perlu diterapkan bagi mewujudkan perpaduan melalui kepelbagaian kaum di negara ini.
“Pendedahan maklumat kesihatan hasil kerjasama daripada Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) dan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Daerah juga dapat memastikan keberkesanan informasi kepada lebih 100 pelajar tahun enam terlibat,” katanya kepada Sinar Harian.
Program dimulakan dengan acara senamrobik serta nyanyian lagu patriotik.
Hasami berkata, program 1Malaysia yang diadakan ini juga bertujuan menyediakan ruang supaya pelajar dapat menjalani kehidupan yang lebih sihat dan bebas daripada serangan penyakit akibat dadah, merokok atau amalan gaya hidup yang kurang sihat.
Antara lain, program itu juga mendidik pelajar supaya dapat mengetahui tentang penjagaan kesihatan serta pengamalan gaya hidup yang sihat seperti menjauhi dadah dan rokok.
“Saya juga dapat melihat pergaulan serta kerjasama antara semua peserta dan pelajar tanpa mengira kaum serta sekolah kerana masing-masing kelihatan gembira dapat menemui kawan baru,” katanya.
Pelbagai program lain akan terus dianjurkan melibatkan lebih ramai pelajar pelbagai kaum selepas ini bagi membentuk integrasi secara menyeluruh.
Sinar Harian: 8 Oktober 2009
Khamis, 8 Oktober 2009
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan