Khamis, 8 Oktober 2009

Guru, ibu bapa diminta hidupkan sukan sekolah

Oleh Khairina Yasin

PEMBABITAN menyeluruh ibu bapa dan guru dituntut bagi memastikan peranan Jawatankuasa Pembangunan Sukan diwujudkan di semua sekolah rendah dan menengah mampu menghidup dan membudayakan sukan di kalangan pelajar.

Pengarah Bahagian Sukan, Seni dan Kokurikulum, Kementerian Pelajaran, Jame Alip, berkata penubuhan jawatankuasa berkuat kuasa bulan lalu itu diyakini mampu menggiatkan lagi aktiviti bagi mempopularkan sukan selari dengan strategi Program Pembangunan Sukan Sekolah diperkenalkan sebelum ini.

Beliau berkata, pihaknya berhasrat melihat sukan di sekolah kembali meriah dan bertenaga dengan pembabitan menyeluruh pelbagai pihak yang berkepentingan dengan institusi pendidikan itu.

“Penubuhan jawatankuasa peringkat sekolah dipengerusikan pengetua atau guru besar disokong tujuh jawatankuasa kecil dianggotai guru dan ahli Persatuan Ibu Bapa dan Guru.

“Jawatankuasa kecil bertanggungjawab dalam aspek berkaitan pembangunan fizikal sukan, penggalakan, sumber manusia, pemantauan dan penilaian, peningkatan profesionalisme, kewangan dan teknikal,” katanya kepada Berita Harian di Putrajaya, baru-baru ini.

Jame menjelaskan, penubuhan jawatankuasa peringkat sekolah itu juga menyamai format Jawatankuasa Induk Pembangunan Sukan Sekolah, Kementerian Pelajaran bagi memastikan keselarasan dalam setiap pelaksanaan program.

Katanya, semua jabatan pelajaran negeri sudah dimaklumkan mengenai penubuhan jawatankuasa itu dan diarah agar merealisasikan segera.

“Jawatankuasa terbabit perlu memahami semua lapan strategi Program Pembangunan Sukan Sekolah dirangka Jawatankuasa Induk Pembangunan Sukan Sekolah bagi memastikan usaha pembudayaan sukan di sekolah berkesan.

“Tumpuan kepada strategi berkaitan Sistem Pengiktirafan Sukan yang akan menilai sejauh mana pembabitan pentadbir sekolah dan kewajaran memberi pengiktirafan kepada mereka yang cemerlang sukan,” katanya.

Beliau berkata, pihaknya juga akan berusaha menaik taraf dan membangun prasarana sukan sekolah secara terancang dan berperingkat, selain penyediaan kemudahan serta peralatan supaya aktivitinya berjalan lancar.

Berita Harian Online: 8 Oktober 2009

Tiada ulasan: