Khamis, 8 Oktober 2009

Rimup tonjol budaya pelbagai kaum di sekolah

KUANTAN - Sekolah adalah institusi terbaik dalam menerapkan pelbagai budaya antara kaum sekali gus menjayakan konsep 1Malaysia dalam kalangan murid.

Pegawai Memerintah Batalion 12 Rejimen Askar Melayu Diraja Kem Batu 10, Leftenan Kolonel Rasyidin Hashimi Abdul Rashid berkata, institusi itu berperanan untuk meletakkan agenda integrasi dan perpaduan bagi melahirkan masyarakat bersatu padu serta saling hormati-menghormati antara satu sama lain.

Menurutnya, Program Rancangan Integrasi Murid Untuk Perpaduan (Rimup) adalah medium terbaik untuk menjadi asas menyatukan perpaduan rakyat berbilang kaum bermula di bangku sekolah.

"Program Rimup memperlihatkan sebagai medan menyuburkan semangat kerjasama antara kaum dan pemangkin kepada perpaduan nasional," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada program Jamuan Hari Raya di Sekolah Kebangsaan (SK) Wira di sini.

Program Rimup berjaya menonjolkan budaya 1Malaysia melalui pelbagai pameran makanan tradisional, pakaian beragam dan tarian.

Ia diadakan secara besar-besaran untuk menonjolkan kehebatan murid dan guru sekolah itu mengetengahkan bakat murid bagi menjayakan pelbagai aktiviti membabitkan tetamu jemputan.

Program Rimup juga membuka peluang warga sekolah dan murid sekolah jemputan untuk melihat keunikan dan keistimewaan budaya Melayu yang bukan sahaja kaya dengan adat tetapi keenakan juadahnya.

Beliau berkata, terdapat banyak aktiviti yang boleh dilaksanakan dalam usaha merealisasikan proses integrasi kaum di sekolah.

Sementara itu, Guru Besar SK Wira, Norahana Hashim berkata, program julung kali diadakan secara besar-besaran itu adalah komitmen warga sekolah yang sentiasa memberi kerjasama untuk menjayakan program sambutan Aidilfitri itu.

“Sekolah berusaha memastikan warga sekolah terbabit dalam program yang dilaksanakan, malah jamuan hari raya ini turut dikunjungi beberapa sekolah Cina dan India agar semangat 1Malaysia dapat diwujudkan.

“Saya gembira apabila program ini dapat dijalankan dengan jayanya malah aktiviti yang disediakan juga menepati konsep yang ditetapkan,” katanya.

Pada majlis itu, pelbagai makanan tradisional tiga kaum utama dipamerkan antaranya kuih bakul, maruku, ladoo, wantan, bunga tanjung, capati, wadai, rendang dan lemang.

Selain itu, persembahan tarian zapin dan tradisional India turut ditonton tetamu selain pertunjukan fesyen pakaian kaum di Malaysia.

Paling menarik apabila guru dan murid sekolah berkenaan turut menarik tumpuan tetamu melalui persembahan nyanyian lagu raya melalui kugiran cilik yang ditubuhkan sekolah terbabit.

Antara sekolah yang dijemput membuat persembahan ialah Sekolah Kebangsaan Teruntum, SJK (C) Taman Tas dan SJK (T) Bandar Indera Mahkota.

Sinar Harian: 8 Oktober 2009

Tiada ulasan: