Khamis, 8 Oktober 2009

Calon PMR SMK Paya Pulai selamat

TEMERLOH – Seramai 109 calon peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR) Sekolah Menengah Kebangsaan Paya Pulai di sini selamat menjalani peperiksaan berkenaan semalam tanpa sebarang gangguan psikologi.

Ahli Parlimen Temerloh Datuk Saifuddin Abdullah berkata, daripada jumlah itu seramai 21 calon yang pernah mengalami gangguan psikologi terpaksa diasingkan bagi mengelak sebarang kemungkinan yang boleh mengganggu peperiksaan.

Menurutnya, kesemua 21 calon terbabit mengambil peperiksaan di Sekolah Kebangsaan Sungai Gau yang terletak kira-kira satu kilometer dari SMK Paya Pulai.

“Kita berpuas hati dengan usaha semua pihak dalam memastikan semua calon ini dapat menduduki peperiksaan dengan selamat pada hari pertama peperiksaan PMR ini,” katanya semalam.

Beliau berkata demikian kepada media selepas melawat SMK Paya Pulai pada hari pertama peperiksaan PMR yang berlangsung serentak di seluruh negara semalam.

Turut hadir Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Mentakab, Chuah Boon Seong; Pengarah Pelajaran Pahang, Datuk Abdul Aziz Abdul Latiff; Pegawai Pelajaran Daerah Temerloh, Nadzri Ab Wahab dan Pengetua SMK Paya Pulai, Norlaila Ismail.

Saifuddin berkata, lawatan semalam diadakan bagi melihat suasana calon PMR yang pernah mengalami gangguan psikologi sejak April lalu.

Beliau berkata, hasil lawatan semalam beliau berpuas hati dengan pengurusan sekolah, pejabat ADUN Mentakab, Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG), Jabatan Pelajaran Pahang, serta ibu bapa pelajar yang memberikan kerjasama dalam menangani gangguan psikologi berkenaan.

Saifuddin berkata, semua langkah telah diambil untuk memulihkan keadaan termasuk perubatan alternatif dan terbaru menggunakan kaedah motivasi kepada pelajar sekolah berkenaan.

Menurutnya, beliau sangat puas hati dengan tindakan khususnya guru-guru yang terpaksa melakukan tugas di luar bidang mereka dalam menangani gangguan psikologi dalam kalangan pelajar sekolah terbabit.

Pada lawatan semalam Pengarah Pelajaran Pahang Datuk Abdul Aziz Abdul Latiff berkata, seramai 3,392 calon PMR di Temerloh menduduki peperiksaan di 30 pusat peperiksaan seluruh daerah Temerloh tahun ini.

Menurutnya, seramai 30 ketua pengawas dan 168 penolong pengawas peperiksaan bertugas tahun ini. Tiga calon menduduki peperiksaan di hospital.

Sinar Harian: 8 Oktober 2009

Tiada ulasan: