Khamis, 8 Oktober 2009

Solat Hajat Perdana untuk calon PMR

PENGKALAN KUBOR – :Solat Hajat Perdana bagi pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Geting yang menempuh peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR), diadakan sebagai senjata terakhir para pelajar dalam usaha mempersiapkan diri menghadapi peperiksaan itu.

Penolong Kanan Kokurikulum sekolah berkenaan, Anuar Musa berkata, program berbentuk kerohanian itu merupakan aktiviti tahunan sekolah itu sebelum para pelajar menduduki peperiksaan.

”Program solat hajat ini menghimpunkan ibu bapa dan pelajar PMR bersama guru-guru sebagai satu usaha memohon keredhaan Allah SWT, agar para pelajar dapat menumpukan sepenuh perhatian ketika menjawab soalan nanti.

”Selain itu, bacaan surah Yasin beramai-ramai setelah selesai solat hajat juga diadakan sebagai penerang hati para pelajar,” katanya.

Menurutnya, imam masjid mukim berdekatan juga dijemput untuk mengimamkan majlis solat hajat itu sebagai satu langkah untuk mendekat warga sekolah dengan komuniti setempat khususnya pimpinan agama sekitar.

Sementara itu, penyelaras program solat hajat berkenaan, Mohd Azhar berkata, usaha murni yang diadakan itu merupakan satu jalan yang difikirkan penting dalam melahirkan kecemerlangan pelajar dari segi akademik dan sahsiah.

“Saya berasa sedikit terkilan di atas sikap segelintir ibu bapa yang tidak begitu prihatin terhadap anak-anak mereka yang bakal mengambil PMR tahun ini.

“Ini dapat dilihat menerusi kehadiran ibu bapa dalam majlis ini, apabila hanya 40 peratus saja yang hadir berbanding 320 jumlah calon keseluruhannya,” katanya.

Menurutnya, keadaan ini memberikan gambaran mengenai sikap keseluruhan ibu bapa yang tidak bersungguh-sungguh menggalakkan anak-anak mereka mencapai kejayaan dalam peperiksaan tersebut.

Sinar Harian: 8 Oktober 2009

Tiada ulasan: