Isnin, 12 Oktober 2009

Percepat usia ke sekolah matangkan generasi kita

APABILA diperhatikan pelajar di kebanyakan negara maju termasuk di United Kingdom (UK) yang seawal umur lima tahun sudah mendaftar ke Darjah Satu dan empat tahun dihantar ke pusat asuhan kanak-kanak.

Bayangkan pelajar sekolah di UK menduduki peperiksaan O level setaraf Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) pada usia 15 tahun dan pada umur 17 tamat A Level setaraf Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM).

Apabila melanjutkan pengajian ke pusat pengajian tinggi empat tahun, mereka boleh berdikari dan menjawat jawatan pada usia 21 tahun. Banyak manfaatnya apabila dianjakkan umur persekolahan dua tahun lebih awal untuk memasuki Darjah Satu dan antaranya menjimatkan tempoh persekolahan.

Ia juga mampu mengurangkan kegiatan tidak sihat di kalangan remaja serta paling penting mengubah cara hidup wanita yang berkerjaya iaitu mereka boleh berkahwin seawal umur 21 tahun selepas tamat pengajian dan ada kerja tetap.

Saya rasa sudah sampai masanya sistem pelajaran di negara ini dirombak dengan mengikut kaedah pelajaran di kebanyakan negara maju. Di UK umpamanya, walaupun kanak-kanak seawal umur lima mendaftarkan Darjah Satu dan umur sebegitu masih tidak begitu pandai menyesuaikan diri, tetapi dengan sistem pembelajaran, ditambah guru terlatih secara profesional ia lebih mudah dilakukan.

Misalnya, mereka mampu mengaturkan segala aktiviti persekolahan dengan cemerlang walaupun hanya berumur lima tahun.

Malaysia yang menuju ke arah negara maju tidak lama lagi harus mengambil dan mengubah segala kaedah lama yang kurang berkesan itu ke arah minda yang cerdas dan bergerak pantas tetapi mesti bijak mengendalikannya. Ia mendatangkan kesan positif yang mampu membina negara maju seiring negara lain.

SYED ABDULLAH SYED OSMAN JAMALULLAIL,
Ampangan, Seremban.

Berita HarianOnline: 12 Oktober 2009

Tiada ulasan: