JELI - Pejabat Pelajaran Daerah (PPD) Jeli dan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Jeli mencatat sejarah tersendiri apabila enam pelajar masyarakat Orang Asli dari suku kaum Jahai, menduduki peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR), semalam.
Pegawai PPD, Abdul Kadir Sulaiman berkata, perkembangan tersebut membanggakan warga PPD Jeli setelah ia ditubuhkan.
Menurutnya, kesemua pelajar itu merupakan kumpulan pertama menduduki PMR dalam tempoh sembilan tahun.
“Sejak sekolah ini dibuka pada tahun 1986, kebiasaannya mereka ini tidak pernah menduduki PMR sebaliknya menamatkan pengajian di tingkatan dua.
“Tahun ini cukup bertuah sekali, kita ada tiga pelajar lelaki dan tiga perempuan menduduki peperiksaan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui Sinar Harian di sekolah terbabit bersama Pengetua SMK Jeli, Sauti Ismail.
Abdul Kadir berkata, jumlah calon PMR yang menduduki peperiksaan pada tahun ini seramai 1,565 calon membabitkan pelajar Maktab Rendah Sains Mara dan sekolah agama di daerah Jeli.
Pelajar, Ajan Hassan, 15, berkata, dia bangga dan berdebar menduduki peperiksaan PMR buat kali pertama.
Anak kedua dari lapan adik beradik ini berkata, dia berharap untuk memperoleh keputusan cemerlang dalam semua mata pelajaran.
“Saya akan jawab dengan terbaik dan segala upaya yang saya ada,” katanya.
Sinar Harian difahamkan, Jabatan Hal Ehwal Orang Asli (JHEOA) Jeli turut memberikan sokongan dan kerjasama dalam program pembangunan pendidikan pelajar-pelajar berkenaan.
JHEOA Jeli turut menyediakan kelas tambahan selama dua jam kepada calon-calon PMR di kalangan Orang Asli pada tahun ini.
Sinar Harian: 8 Oktober 2009
Khamis, 8 Oktober 2009
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan