|
|
MERSING 5 Okt. - Inisiatif Jabatan Pelajaran Negeri Johor (JPNJ) melalui unit sukannya menjayakan Karnival Sukan Sekolah-Sekolah Pulau Negeri Johor (KSSPNJ) Ke-4 mendorong Timbalan Menteri Pelajaran, Dr. Mohd. Puad Zarkashi menjadikan empat sekolah di gugusan kepulauan Mersing di sini sebagai sekolah angkat.
Sekolah terbabit ialah Sekolah Kebangsaan (SK) Pulau Pemanggil yang hanya mempunyai lima murid, SK Pulau Aur seramai 14 murid, SK Pulau Sibu (26 murid) dan SK Pulau Tinggi (20 murid).
Empat SK itu diumumkan sebagai sekolah anak angkat oleh Puad ketika merasmikan majlis penutupan KSSPNJ di Pulau Tinggi, Mersing, di sini, baru-baru ini.
Puad berkata, KSSPNJ adalah bersempena pengisian Bulan Kecergasan Kementerian Pelajaran yang menggunakan pendekatan konsep hibur didik bagi membangunkan potensi pelajar sekolah pulau dengan pembangunan fizikal, minda dan berdaya saing.
Katanya, pengisian karnival itu mencakupi modul mengenal pasti bakat atlet, rekreasi, permainan bola sepak dan bola jaring, modul khidmat kemasyarakatan dan perkongsian ilmu.
"Ia dilaksanakan melalui majlis ramah mesra kepemimpinan Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM), JPNJ, guru dan staf sekolah pulau bersama masyarakat di pulau yang menjayakan program motivasi pelajar dan cintai alam kita," katanya.
Modul kesenian dan kebudayaan pula, katanya, diterjemahkan melalui penyertaan murid menggayakan pakaian tradisional, pertandingan nyanyian, tarian dan melukis.
"KSSPNJ juga akan diperluaskan kepada Karnival Sukan Sekolah-Sekolah Pulau Pantai Timur (KSSSPPT) yang akan disertai sekolah di pulau yang terdapat di negeri Pantai Timur," tambahnya.
Menurut Puad, pihaknya mencadangkan dan menetapkan Pulau Sibu sebagai tuan rumah bagi KSSSPPT itu pada 2010 dan perancangan seterusnya akan diperluaskan hingga ke peringkat kebangsaan.
"Melalui ruang dan peluang yang dianjurkan KPM bagi merapatkan jurang pendidikan antara lokasi dan taraf sosioekonomi, diharapkan semua pelajar di semua pulau terbabit dapat menyertai lawatan sambil belajar, beriadah dan menimba pengalaman dengan menerapkan elemen komuniti dan keilmuan," katanya.
Pada majlis itu, Puad turut menyampaikan sumbangan peralatan sukan kepada guru besar sekolah-sekolah pulau dan hadiah pemenang bagi bakat bintang kecil, sukan, permainan dan pertandingan mewarna.
Utusan Malaysia Online: 6 Oktober 2009
Tiada ulasan:
Catat Ulasan