PORT DICKSON - Calon Penilaian Menengah Rendah dan Sijil Pelajaran Malaysia perlu dibantu untuk mencari semangat dan ketenangan dalam diri mereka. Selain guru dan rakan, ibu bapa adalah tulang belakang serta peniup semangat pelajar untuk berhadapan dengan peperiksaan berkenaan.
Selain ibu bapa yang memberi kasih sayang dan keperluan kehidupan, guru adalah insan banyak berkorban mencurahkan ilmu kepada pelajar.
Pengetua Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bukit Saujana, Johara Datuk Nawawi berkata, kesepakatan dan kerjasama antara tiga kombinasi itu adalah platform tepat untuk memastikan kecemerlangan dicapai.
“Pelajar harus mempunyai keyakinan tinggi untuk melakukan yang terbaik dalam peperiksaan. Beri tumpuan sepenuhnya pada pelajaran, rajin membuat ulang kaji di rumah serta memperbanyakkan doa kepada Allah SWT semoga kita dikurniakan kejayaan diidamkan,” katanya.
Sementara itu, seorang guru ditemui, Azmie Ahmad berkata, ibu bapa, guru dan pelajar perlu menghidupkan suasana bersedia menghadapi peperiksaan. Ini untuk memastikan kehidupan anak mereka lebih baik pada masa akan datang dan membantu anak mencapai kejayaan cemerlang.
“Selain doa, sokongan dan dorongan perlu agar pelajar ini berada di dalam keadaan bersedia dan bersemangat dalam menjalani peperiksaan.
“Peperiksaan adalah proses biasa dalam pendidikan. Oleh itu, sebagai guru dan ibu bapa harus memberi sentuhan dan penenang kepada pelajar. Jangan biarkan pelajar menghadapi beban peperiksaan sendiri. Tanya dan ambil perhatian masalah dihadapi pelajar,” katanya.
Seramai 475,182 calon menduduki peperiksaan bertulis PMR bermula 7 sehingga 13 Oktober.
Menerusi jumlah itu, 442,611 pelajar adalah calon sekolah bantuan penuh kerajaan, calon swasta (13,561), calon persendirian (338), calon Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) dan Sekolah Perintis Tentera (4,150), Sekolah Agama Rakyat (1,288) dan Sekolah Agama Negeri (13,234).
Selangor adalah negeri mencatatkan jumlah calon paling ramai, 77,826 orang, manakala Labuan mencatatkan jumlah calon paling sedikit, 1,154 orang.
Seramai 28,028 petugas akan mengendalikan peperiksaan itu di 3,496 pusat peperiksaan di seluruh negara.
Sinar Harian: 6 Oktober 2009
Selasa, 6 Oktober 2009
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan