Selasa, 6 Oktober 2009

TERKINI: Guru saman pengetua yang didakwa menjejaskan reputasinya

KUANTAN 6 Okt. — Seorang guru di Sekolah Menengah Kebangsaan Seri Mahkota, Jalan Gambang di sini mengemukakan saman RM228,000 terhadap pengetua sekolah terbabit kerana didakwa menjejaskan reputasinya.

Rozilah Abdullah, 37, yang memfailkan saman itu di pejabat Pendaftar Mahkamah Sesyen di sini melalui Tetuan Balkhis Alias & Co pada 12 Ogos lepas menamakan pengetua, Aluwiyah Osman sebagai defendan.

Kes itu ditetapkan untuk sebutan pada hari ini, namun Hakim Hassan Abdul Ghani kemudian menetapkan 5 Nov. ini sebagai sebutan semula selepas wakil Pejabat Peguam Negara memohon tempoh masa untuk memfailkan penyataan balas terhadap tuntutan saman berkenaan.

Dalam pernyataan tuntutan itu, Rozilah mendakwa pada 24 Julai tahun lepas, defendan memalukannya di hadapan guru lain dengan menuding jari ke arahnya serta menyatakan beliau enggan mematuhi perintah defendan.

Rozilah mendakwa defendan telah membuat satu laporan terhadapnya dan berikutan itu seorang kaunselor daripada Pejabat Pelajaran Daerah Kuantan memanggilnya ketika beliau sedang mengajar memaklumkan satu laporan telah dibuat terhadapnya.

Rozilah, yang telah bertugas selama 13 tahun sebagai guru, mendakwa akibat laporan defendan, beliau telah menerima surat bertarikh 13 Feb. 2009 yang menyatakan tiada pergerakan gaji bagi beliau untuk tahun 2009.

Beliau juga mendakwa tidak pernah diberikan peluang membela diri kerana tidak dipanggil atau diberikan peluang menjawab laporan yang dibuat oleh ketuanya itu. - Bernama

Utusan Malaysia Online: 6 Oktober 2009

4 ulasan:

farahiyah berkata...

tak rasa pendakwa akan menang kes ni

Pemerhati berkata...

benar, kes tak kuat...

namun tidak menang kes di dunia tidak semestinya kalah di padang mahsyar

Tanpa Nama berkata...

Terkini!!! Guru tersebut telah dinasihatkan menarik saman yang sedang dibicarakan semalam di mahkamah seksyen Kuantan. Kat mana la nak letak muka malu dgn kawan2 dan pelajar2nya. Dah tahu tak kuat nak menang gatal nak menyaman.

Tanpa Nama berkata...

Dah tarik balik rupanya...