Selasa, 6 Oktober 2009

Anak prasekolah dididik soal kebersihan

RAMUAN CHINA BESAR – Panitia Pendidikan Jasmani dan Kesihatan Sekolah Kebangsaan (SK) Ramuan China Besar memberi peluang, ruang dan membimbing kanak-kanak prasekolah menjaga kebersihan menerusi kempen ‘Anda Bersih, Anda Sihat’.

Ketua Panitia Pendidikan Jasmani dan Kesihatan SK Ramuan China Besar, Norazima Mohamad berkata, program sehari itu bertujuan memberi tunjuk ajar kepada kanak-kanak prasekolah berusia enam tahun ke bawah dalam aspek penjagaan diri lebih sempurna.

Katanya, kempen itu adalah sebahagian daripada beberapa aktiviti dirancang khas melalui program ‘Selepas Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR)’ dan rata-rata murid mendengar cakap serta mempelajari teknik membersihkan tangan dengan baik.

“Kita mengucapkan terima kasih kepada Syarikat LION Corporation kerana menyumbang 350 sabun anti bakteria dan ubat gigi untuk diedarkan kepada murid sekolah ini,” katanya.

Norazima berkata, menerusi aktiviti itu, semua murid Tahun Enam diberikan beberapa kumpulan untuk memastikan kanak-kanak prasekolah menerima bimbingan dan tunjuk ajar soal menjaga kebersihan terutama cara membasuh tangan, memberus gigi dan mandi.

Katanya, pihak sekolah melalui panitia itu akan terus meningkatkan asas menjaga diri lebih sempurna, selain memberi penerangan terperinci kepada semua murid agar tidak memperlekehkan soal kebersihan dalam pelbagai aspek.

“Kita percaya sekiranya semua pihak memainkan peranan dalam soal penjagaan diri dan kesihatan, langkah pencegahan boleh diambil tanpa ragu-ragu,” katanya.

Sinar Harian: 6 Oktober 2009

1 ulasan:

Mohar Yahya berkata...

Tahniah kepada cikgu selaku ketua panitia PJPK dan guru yang terlibat menjayakan program yang amat baik ini.