KUANTAN – Murid dinasihatkan agar tidak malu untuk mempelajari bahasa Inggeris sebagai bahasa berkomunikasi di sekolah.
Pegawai Akademik Bahasa Pejabat Pelajaran daerah, Fauziah Abdul Rahman berkata, penggunaan bahasa Inggeris dalam kalangan murid harus diperluaskan di peringkat sekolah rendah supaya mereka menyedari kepentingan bahasa itu.
Menurutnya, galakan guru penting supaya murid berkeyakinan untuk berinteraksi dengan rakan dan guru menggunakan bahasa itu.
“Pendedahan ini perlu kerana selari kehendak semasa agar murid mampu mencapai matlamat ditetapkan untuk melihat mereka berkomunikasi dalam bahasa Inggeris dengan baik.:
“Penggunaan yang kerap akan membantu murid memperbaiki tahap penguasaan bahasa ini supaya lebih baik dari semasa ke semasa,” katanya pada Pertandingan Akhir Ejaan ‘Knowlegde Discovery’ peringkat negeri di Sekolah Kebangsaan (SK) Assunta Convent.
Katanya, melalui pertandingan itu, murid berpeluang mengetahui tahap penguasaan bahasa Inggeris terutama melalui aktiviti ejaan secara tidak langsung membantu mereka menambah kosa kata.
“Persaingan secara sihat dalam kalangan peserta mampu melahirkan murid berkualiti dan mampu bersaing.
“Dalam masa sama dapat memperbaiki tahap kemahiran berbahasa selain mengetahui kelemahan mereka,” katanya.
Pertandingan kali ketiga dengan kerjasama Champs itu berjaya menarik penyertaan 30 peserta dari 10 daerah termasuk Rompin, Kuantan, Pekan, Temerloh dan Maran.
Peserta SK Jalan Bahagia, Temerloh, Ahmad Nor Arif Zailani muncul johan, tempat kedua murid SK Sungai Puteri, Rompin, Nur Anis Jamal dan ketiga murid SK Perempuan Methodist, Kuantan, Kristin Lau.
Sinar Harian: 6 Oktober 2009
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan