Selasa, 6 Oktober 2009

Sambutan hari raya SKKK1 meriah

KUBANG KERIAN - Kemeriahan jelas terlihat pada sambutan hari raya di Sekolah Kebangsaan Kubang Kerian 1 baru-baru ini apabila ia bukan sahaja melibatkan semua pelajar sekolah berkenaan, tetapi turut dihadiri pegawai Pejabat Pelajaran Daerah (PPD) Kota Bharu, guru-guru besar Kumpulan Meningkatkan Mutu Kerja (QIT), kakitangan Klinik Kesihatan Kubang Kerian, Ahli jawatankuasa PIBG dan ramai lagi.

Guru Besarnya, Mohamed Che Noh berkata, majlis berkenaan berjalan dengan lancar hasil usaha dan kerjasama padu antara semua guru dan kakitangan sekolah terutamanya dalam menyediakan menu serta atur cara program sepanjang hari berkenaan.

"Setiap tahun, majlis hari raya sekolah ini akan dibuat secara besar-besaran sebagai penghargaan kepada semua yang memberi sokongan kepada kejayaan sekolah, namun ianya takkan berjaya tanpa usaha keras guru dan kakitangan menyediakan menu serta pelbagai aktiviti pada hari ini,” katanya kepada Sinar Harian ketika ditemui pada majlis berkenaan.

Selain hidangan juadah raya kepada tetamu, turut diselitkan aktiviti menarik seperti persembahan pentas, pemberian duit raya kepada murid-murid dan juga sukaneka.

Katanya, pada majlis sebegini, mereka yang terlibat dapat berjumpa dan berkenalan dengan lebih rapat agar hubungan yang wujud akan berkekalan dan memberi manfaat pada masa hadapan.

"Biasanya kita bertemu dalam program formal yang membataskan komunikasi serta ruang lingkup kerja, tapi hari ini kita seperti ahli keluarga yang bebas untuk berkomunikasi dan beramah mesra.

"Secara tidak langsung hubungan yang sedia terjalin ini akan lebih erat lagi dan memudahkan urusan di kemudian hari,” katanya.

Mohamed berkata, selain berkongsi kegembiraan, majlis berkenaan sedikit sebanyak memupuk nilai harmoni dan mengetengahkan konsep Satu Malaysia apabila ia melibatkan pelbagai kaum serta perbezaan latar belakang.

Menurutnya, dalam situasi yang agak tegang terutamanya melibatkan isu perkauman, semua orang perlu kembali kepada sejarah agar perkara negatif yang pernah berlaku tidak akan berulang.

"Melalui majlis sebegini, kita dapat saling mengingatkan pentingnya pengukuhan hidup bermasyarakat tanpa mengira bangsa demi masa depan yang harmoni dan kekal gembira sebagaimana dinikmati hari ini,” katanya.

Sinar Harian: 6 Oktober 2009

Tiada ulasan: