Sabtu, 3 Oktober 2009

Lewat bukan halangan rai merdeka


KUALA KEDAH – Walaupun sambutan kemerdekaan negara ke-52 telah berakhir pada 31 Ogos lalu, namun ia tetap diraikan kira-kira 300 kanak-kanak di sekitar Kuala Kedah di sini.

Pengerusi Program Semarak Merdeka, Che Omar Zainol berkata, walaupun sambutan Bulan Kemerdekaan telah berakhir pada 16 September lalu, mereka tetap mengambil peluang untuk tidak terlepas meraikannya.

Menurutnya, Semarak Merdeka itu telah melibatkan kira-kira 300 kanak-kanak di sekitar Kuala Kedah yang mana mereka adalah murid-murid dari pelbagai sekolah.

“Program ini baru diadakan memandangkan Hari Kemerdekaan negara jatuh pada Ramadan dan secara tidak langsung umat Islam terus meraikan Syawal.

“Jadi, selepas berakhirnya bulan puasa dan murid-murid kembali ke sekolah, jawatankuasa program bersetuju untuk mengadakan perarakan bermula dari Sekolah Kebangsaan Haji Ismail,” katanya kepada Sinar Harian di sini.

Beliau berkata, selaras dengan gagasan 1Malaysia yang diperkenalkan Perdana Menteri itu, beliau mahu murid-murid ini yang mana masih lagi muda untuk menghayati erti kemerdekaan.

“Selain itu, Semarak Merdeka juga cuba untuk mendidik kanak-kanak ini mengetahui konsep 1Malaysia iaitu ‘rakyat didahulukan, pencapaian diutamakan’ walaupun mereka masih muda.

“Nilai seperti ini harus diterapkan dalam diri mereka sewaktu golongan ini masih dalam peringkat muda bak kata pepatah, melentur buluh biar dari rebungnya,” katanya.

Menurutnya, beliau juga gembira apabila program ini berjaya menyatukan lima sekolah seperti Sekolah Kebangsaan (SK) Sri Pantai, SK Seberang Nyonya, SK Haji Ismail, SK Kuala Kedah dan Sekolah Jenis Kebangsaan Cina Pei Shih.

“Penyatuan dan kerjasama untuk menjayakan Semarak Merdeka ini telah membuktikan konsep 1Malaysia mampu menyatukan kanak-kanak dari pelbagai kaum walaupun usia mereka masih muda.

“Saya juga dapati program ini telah mengeratkan jalinan hubungan antara murid-murid yang terlibat walaupun mereka berlainan sekolah dan kaum berbeza seperti Melayu, Cina dan India,” katanya.

Sementara itu, Naib Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) SK Sri Pantai, Nur Mariathul Habsah Ibrahim berkata, program berkenaan wajar diadakan setiap tahun bagi memastikan golongan ini terus menghayati dan tidak melupakan asal usul kemerdekaan tanah air.

Menurutnya, walaupun ia pertama kali diadakan yang mana melibatkan lima sekolah, namun pendekatan itu diyakini mampu melahirkan generasi yang akan mencorakkan masa depan negara kelak.

Seramai 300 murid berkenaan berarak sejauh 4 kilometer dari SK Haji Ismail mulai jam 8 pagi diiringi pasukan Bomba Sukarela Kuala Kedah menuju ke SK Seberang Nyonya sebelum berarak pulang ke SK Haji Ismail semula.

Sinar Harian: 3 Oktober 2009

Tiada ulasan: