YAN - Hubungan integrasi antara kaum perlu digerakkan dari peringkat sekolah lagi dengan merangka pelbagai program yang menghubungkan pelajar dari pelbagai jenis sekolah untuk mereka berinteraksi antara satu sama lain.
Pihak Sekolah Menengah Agama (SMA) Nahdzah, Bukit Besar telah mengambil satu inisiatif dengan mengadakan Program Rancangan Integrasi Murid Untuk Perpaduan (Rimup) yang merupakan program yang digalakkan oleh Kementerian Pelajaran.
Menurut Pengetua SMA Nahdzah, Ustaz Adenan Othman, tujuan program itu diadakan adalah untuk mendedahkan pelajar dengan aktiviti luar dan meningkatkan perpaduan di kalangan pelajar dengan orang luar.
“Program ini merupakan satu program yang positif yang dapat memupuk perpaduan bermula dari akar umbi dan memisahkan jurang antara pelajar aliran agama dengan pelajar aliran lain.
“Program ini juga dapat mengubah persepsi orang ramai terhadap sekolah aliran agama yang sebelum ini dikatakan tidak mempunyai hubungan yang baik dengan bangsa lain,” katanya.
Adenan berkata, program itu telah disambut baik oleh Guru Besar Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan Cina (SRJKC) Aik Min dan mendapat pujian daripada pihak mereka yang sebelum belum pernah datang ke sekolah.
Sementara itu, SRJKC Aik Min, Beh Geak Ngee berkata, konsep integrasi ini sangat bagus dan selari dengan matlamat kerajaan untuk mewujudkan konsep 1Malaysia.
“Saya menyokong penuh program seumpama ini dan berharap dapat dijadikan acara tahunan serta melibatkan bilangan sekolah yang lebih besar lagi.
“Hubungan yang erat antara pihak sekolah yang dijalin daripada program seperti ini boleh diteruskan untuk perancangan masa depan demi membentuk perpaduan dalam kalangan pelajar dan pihak sekolah perlu memainkan peranan untuk mencorak mereka,” katanya.
Mengulas mengenai rancangan masa depan untuk bekerjasama dalam bidang akademik, Geak Ngee dan Ustaz Adenan memberikan respons positif dan berminat untuk menjalankannya.
Program kali ini telah menyediakan pelbagai jenis persembahan yang dipersembahkan oleh pelajar dari SRJKC Aik Min dan SMA Nadzah yang berjaya menarik perhatian penonton yang menyaksikannya.
Peluang seperti ini telah digunakan oleh mereka untuk menunjukkan kebolehan dan keunikan sekolah mereka kepada orang ramai serta mempelajari sesuatu yang baru daripada sekolah lain.
Sinar Harian: 3 Oktober 2009
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan