KUANTAN – Selain memberi alasan kantin sekolah tidak dibuka pada awal pagi, kelima-lima pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Beserah, yang ditangkap pagi kelmarin turut memberi pelbagai alasan lain untuk membenarkan tindakan mereka ponteng sekolah.
Ariffin, 15 (bukan nama sebenar) berkata, guru salah satu subjek yang dipelajarinya menjadi punca dia tidak berminat untuk masuk ke kelas.
“Cikgu bersikap tidak adil kepada saya, melayan rakan sekelas lain dengan baik, tetapi saya seolah-olah dianaktirikan.
“Saya terasa hati, kewujudan saya bagaikan tidak dipedulikan,” katanya ketika sesi kaunseling yang diberi Pegawai Perhubungan SMK Beserah, Inspektor Azli Ishak, di Balai Polis Beserah, di sini, kelmarin.
Rakannya, Mohd Iqbal, 15 (bukan nama sebenar) pula memberi alasan kelas yang panas berikutan selalu keputusan bekalan elektrik menyebabkannya dia berasa tidak selesa untuk berada dalam kelas untuk tempoh yang lama.
“Rimas, siapa boleh tahan dalam keadaan begitu. Jadi saya lebih gemar berada di luar bersama rakan-rakan.
“Saya juga tidak berniat untuk ponteng hari ini, cuma menemani rakan untuk sarapan pagi di luar sekolah, tetapi ditangkap pula kerana disangka ponteng,” katanya.
Bagaimanapun berdasarkan rekod, murid berkenaan didapati pernah ponteng selama 60 hari, selain pernah dibuang sekolah, namun diterima semula selepas ibu bapanya membuat rayuan.
Sementara itu, Mohsein, 17 (bukan nama sebenar), yang bakal menghadapi peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) bulan hadapan, mendakwa, kesukaran untuk bangun pagi mengakibatkannya lewat masuk ke kelas setiap hari.
“Bukan saya tidak mahu masuk ke kelas, tetapi saya susah untuk bangun pagi lalu ketinggalan bas dan lewat ke sekolah.
“Lagipun, tidak ada apa-apa yang menarik untuk saya kekal di sekolah,” katanya yang memberi jawapan tidak tahu ketika ditanya mengenai rancangannya selepas menduduki peperiksaan SPM.
Sinar Harian: 3 Oktober 2009
Sabtu, 3 Oktober 2009
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan