Sabtu, 3 Oktober 2009

Jangan banding akademik sekolah

JELI – Ibu bapa diingatkan supaya tidak membandingkan sekolah kerana hanya tahap pendidikan yang diterima membezakannya.

Ketua Jajahan Jeli, Serpudin Mohamed berkata, tanggapan ibu bapa bahawa sekolah yang hebat mampu melahirkan pelajar cemerlang patut dikikis.

Menurutnya, perkara lebih utama ialah pendidikan yang diterima anak-anak (pelajar) supaya mereka dapat lahir sebagai generasi berilmu dan berakhlak.

“Apa yang penting ialah kualiti pelajar yang berjaya dididik dan dibentuk sekolah, dan ibu bapa seharusnya berperanan dalam membantu sekolah untuk menyediakan mereka kelak.

“Ibu bapa juga seharusnya jangan kecewa dengan sekolah, sekiranya pencapaian pendidikannya kurang memberangsangkan, sebaliknya bantu dan sokonglah sekolah seadanya dalam usaha mencapai kecemerlangan pada masa depan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan mesyuarat agung Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) kali ke -10, Sekolah Menengah Ugama (Arab) Nahdatul Ulum dekat sini, semalam.

Hadir bersama ialah Timbalan Pengarah (Akademik) Yayasan Islam Kelantan, Zakaria Mohamed dan Ketua Polis Daerah Jeli, Deputi Superintenden, Muhamad Hanifah Ab.Malik.

Kata Serpudin, bagi menggambarkan persepsi bersih terhadap sekolah, guru merupakan pendokong utama dalam usaha ini.

“Gandingan guru dan ibu bapa mampu memantapkan kecemerlangan sekolah dan kerjasama itu harus ada bagi mencapai sasaran tersebut,” katanya.

Sinar Harian: 3 Oktober 2009

Tiada ulasan: