Jumaat, 2 Oktober 2009

Program Bacelor Pendidikan UPM dapat permintaan tinggi

Oleh Khairina Yasin

FAKULTI Pengajian Pendidikan (FPP), Universiti Putra Malaysia (UPM) sentiasa berusaha memenuhi keperluan guru bidang sukan, selain pertanian dan sains rumah tangga di sekolah menengah seluruh negara.

Dekannya, Prof Dr Ab Rahim Bakar, berkata menerusi penawaran program Bacelor Pendidikan bidang Sains Pertanian, Sains Rumah Tangga dan Pendidikan Jasmani, fakulti itu kini sudah melahirkan 4,000 graduan yang bersedia menyalurkan perkhidmatan sebagai pendidik.

Katanya, UPM satu-satunya universiti di negara ini menawarkan program terbabit yang terbukti mempunyai permintaan tinggi pada setiap tahun.

“Program Bacelor Pendidikan Sains Rumah Tangga adalah antara program terawal ditawarkan FPP yang mendedahkan pelajar bidang berkaitan sains rumah tangga seperti kekeluargaan, pemakanan, teknologi pakaian serta pengurusan diri secara teori dan amali.

“Bagi menjamin pelajar memperoleh kemahiran dan pengetahuan maksimum, kita turut menyediakan makmal yang berkaitan bagi tujuan amali,” katanya kepada Berita Harian.

Ab Rahim berkata, pendedahan mengenai teknik serta teknologi asas pertanian sehingga pertanian komersial menjadi pengisian program Bacelor Pendidikan Sains Pertanian yang ditawarkan sejak 1976.

Katanya, pelajar juga berpeluang menjalani latihan praktikal di ladang fakulti berkeluasan empat hektar, selain Taman Pertanian UPM (lebih 400 hektar).

Sehingga tahun ini, katanya, sejumlah 1,308 graduan berjaya dilahirkan dan kebanyakannya berkhidmat sebagai guru pertanian di bawah Kementerian Pelajaran.

“Penawaran program ini adalah sebahagian usaha fakulti dan UPM untuk terus memberikan sokongan kepada perkembangan bidang pertanian negara sejajar polisi pembangunan berorientasikan pertanian.

“Kita juga dikenali dengan kehebatan melahirkan jaguh sukan berpendidikan termasuk Zaiton Othman, Yazid Imran, V Anggamah menerusi Program Bacelor Pendidikan Jasmani.

“Pencapaian itu mendorong Majlis Sukan Negara menjalinkan kerjasama menerusi memorandum persefahaman (MoU) dengan UPM bagi menghantar lebih ramai ahli sukan menyambung pengajian di sini,” katanya.

Malah katanya, ada kalangan graduan program itu turut berkhidmat sebagai guru Pendidikan Jasmani di sekolah bermatlamat mendidik bakat sukan muda di peringkat awal.

Selain menawarkan program, Ab Rahim berkata, FPP turut berperanan sebagai pengelola program pendidikan dan pembangunan sumber manusia bagi melatih guru, pegawai pendidikan dan sumber manusia bagi meningkatkan kualiti serta kecemerlangan dalam pendidikan.

Katanya, usaha itu adalah sebahagian aktiviti pengembangan FPP di dalam dan luar kampus dengan menyalurkan perkhidmatan dan perundingan pendidikan.

Berita Harian Online: 2 September 2009

1 ulasan:

cikgupj berkata...

hehehe...di sinilah tempat cpj menimba ilmu satu ketika dulu...bersama beberapa orang jaguh sukan negara!...

cpj: teringat kisah-kisah pahit manis bersama-sama pensyarah dan kawan-kawan pj yang hebat-hebat...