Rabu, 7 Oktober 2009

Sayangi Sekolah: Inisiatif berhasil

Oleh Roselan Ab Malek
upen@bharian.com.my

Usaha SK Pekan Jaya salur maklumat dapat pengiktirafan

MEWUJUDKAN Taman Herba, Galeri Bitara Seni dan Bilik Pameran Pencegahan Dadah (PPDa) antara inisiatif Sekolah Kebangsaan (SK) Pekan Jaya, Pekan, Pahang bagi mengukuhkan peranannya sebagai pusat ilmu.

Guru Besarnya, Ummi Kalthum Abu Bakar, berkata usaha itu dilakukan bagi menyediakan pelbagai pengetahuan dan maklumat kepada murid, selain mendedahkan mereka mengenai seni warisan budaya bangsa Melayu.

Beliau memberi contoh, tumbuhan di Taman Herba yang dilabelkan dalam bahasa Melayu dan Inggeris turut dilengkapi sudut maklumat menerangkan manfaat sumber semula jadi itu untuk perubatan.

Galeri Bitara Seni pula mempamerkan barangan lama pernah digunakan masyarakat dulu yang dikumpulkan daripada guru dan ibu bapa.

Pelbagai maklumat bagi menyedarkan murid mengenai akibat penyalahgunaan dadah dan sebagai usaha mengelakkan mereka terjebak dengan najis itu, katanya, didedahkan menerusi PPDa.

“Taman Herba menghimpun pelbagai jenis herba untuk penawar penyakit seperti pokok gajah beranak, kacip fatimah, tongkat ali, bisa ular, pecah beling, puting beliung dan rempah gunung.

“Di Galeri Bitara Seni pula dipamerkan koleksi gambar dan biodata guru silat di Pahang agar murid mengetahui asal usul perguruan silat di negeri ini seperti Silat Pendekar Ahmad, Silat Pendekar Endol, Silat Sutan Maakat, Silat Cikgu Jantan, Silat Pendekar Hussain dan Silat Pawang Nong.

“Selain itu, sudut gambar tokoh pahlawan Pahang seperti Mat Kilau, Datuk Bahaman, Tok Gajah, Mat Lela, Mat Kelantan, Raja Ibrahim Tan Kechik dan Raden Damabulan (Panglima Hitam) yang banyak berjasa menentang penjajahan Inggeris,” katanya.

Ummi Kalthum berkata, inisiatif itu antara lain bertujuan menaikkan nama sekolah yang baru lima tahun ditubuhkan itu, selain bersaing dengan sekolah lain bukan saja di peringkat negeri malah kebangsaan.

Justeru, katanya, penerimaan Anugerah Sekolah Cemerlang Kategori Sekolah Rendah Luar Bandar 2009 daripada Kementerian Pelajaran, baru-baru ini, memberi makna besar kepada warga sekolah itu.

Beliau berkata, pengiktirafan itu menjadi pencetus semangat warga sekolah terdiri daripada 558 murid, 39 guru dan 12 kakitangan sokongan terus melonjak pencapaian.

Antara usaha bagi mencapai hasrat itu ialah memastikan kemudahan dan persekitaran sekolah kondusif serta menarik bagi memberi keselesaan murid melakar kecemerlangan dalam bidang akademik dan kokurikulum.

“Keselesaan prasarana boleh mendorong murid meraih kecemerlangan menyeluruh, termasuk pembentukan sahsiah.

“Mengenai pencapaian terbaik sekolah setakat ini, 16 murid memperoleh 5A dalam peperiksaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah tahun lalu.

“Kejayaan kokurikulum, antaranya juara pertandingan ikatan dan simpulan kebangsaan, johan kawad kaki perkhemahan tunas kadet remaja sekolah kebangsaan, persembahan delegasi peringkat Asean di Istana Budaya, Kuala Lumpur; naib juara Seni Silat Tempur Sekolah Rendah Peringkat Negeri Pahang dan ketiga sukan tenis kebangsaan,” katanya.

Berikutan kejayaan itu, beliau menjelaskan SK Pekan Jaya mendapat kepercayaan Jabatan Pelajaran Pahang untuk dicalonkan penerima pelbagai pengiktirafan peringkat kebangsaan dan negeri.

Antara pengiktirafan peringkat kebangsaan ialah Anugerah Sekolah Cemerlang Kementerian Pelajaran; Anugerah Kokurikulum dan Anugerah 3K, manakala negeri pula Anugerah Gading Bersilang Peringkat Pahang.

Berita Harian Online: 7 Oktober 2009

Tiada ulasan: