Sabtu, 3 Oktober 2009

Tonjol pencapaian terbaik pelajar

KUANTAN - Pelajar digalakkan melibatkan diri secara aktif dalam bidang kokurikulum dan menonjolkan pencapaian terbaik di peringkat tertinggi.

Pegawai Pelajaran Daerah Kuantan, Narimah Abd Malek berkata, pelajar perlu aktif dan mengenal pasti potensi masing-masing untuk terus maju dalam bidang dipilih.

Menurutnya, kejayaan pelajar melakar pencapaian di peringkat tertinggi dapat menunjukkan keupayaan mereka bersaing dengan pelajar luar.

“Kita sudah melihat banyak kejayaan pelajar di peringkat antarabangsa dan ini menggambarkan bahawa mereka mempunyai kebolehan untuk bersaing dengan pelajar luar.

:“Penglibatan mereka dalam program berkenaan mampu memperlihatkan bakat mereka kepada pihak luar dengan saluran betul,” katanya ketika ditemui pada Majlis Anugerah Kokurikulum di Sekolah Menengah Sains Sultan Haji Ahmad Shah di sini, semalam.

Narimah berkata, pembabitan pelajar dalam kokurikulum juga harus dipertingkatkan dan merebut peluang sedia ada untuk terus bergiat secara aktif dalam bidang diminati.

“Pelajar harus berpandangan jauh dan mengambil peluang untuk menyahut cabaran dalam persaingan semasa.

“Persaingan dan cabaran berkenaan menuntut pelajar melengkapkan diri dengan penguasaan yang mantap, daya kepimpinan jitu selain mempunyai sahsiah baik,” katanya.

Katanya, sekolah juga boleh mencari cabang kokurikulum baru untuk memberi cabaran kepada pelajar.

“Berkuda adalah antara sukan masih baru dan ia boleh dijadikan sukan pilihan utama kepada pelajar.

“Pendedahan boleh diberikan dan saya pasti pelajar berminat untuk jadikan sukan berkuda sebagai salah satu aktiviti kelab di sekolah,” katanya.

Pada majlis itu, Mohd Azhar Mohamed dinobatkan sebagai Tokoh Kokurikulum 2009 kerana aktif dalam pelbagai lapangan kokurikulum.

Sinar Harian: 3 Oktober 2009

Tiada ulasan: