Sabtu, 3 Oktober 2009

Pameran karya beri inspirasi

SELAYANG – Pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Ideal Heights (SMKIH) di sini disifatkan bertuah kerana berpeluang ‘menikmati’ hasil karya guru yang juga karyawan, dalam pameran berkaitan pertama seumpamanya diadakan.

Pengetuanya, Jamaliah Mohd Buang berkata, jika sebelum ini hasil seni karyawan profesional kebanyakannya didapati dalam pameran di pusat dan bilik seni, tetapi kali ini ia diadakan untuk tatapan warga sekolah.

Menurutnya, usaha mengadakan program itu bagi memanfaatkan kelebihan sekolahnya yang mempunyai guru berpengalaman berkaitan, sekali gus dapat memberikan inspirasi kepada pelajar.

“Kami harap 187 pelajar Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) mengambil peperiksaan subjek Seni Visual akan mengambil iktibar untuk menghayati, mengkaji imej dan mesej dalam pameran sebegini.

“Usaha mengadakan program sebegini bukan sahaja bagi menilai guru berpotensi sebagai guru cemerlang, tetapi memberi peluang mempelajari hasil seni yang banyak manfaatnya. Namun ia selalunya dipandang ringan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada pelancaran Pameran Seni Dua Zaman 2009 bertajuk ‘Inilah aku...’ oleh Mat Aris Suradi, di SMKIH.

Sementara itu, Mat Aris ketika ditemui berkata, sebahagian daripada 83 karya bermotifkan alam semulajadi dihasilkannya dalam pameran itu diharap meningkatkan lagi kreativiti dan imaginasi pelajar.

“Terdapat pelbagai penggunaan menghasilkan seni ini yang saya gunakan seperti warna minyak, warna air, kapur, pensel, cetakan kayu dan lain-lain. Manakala motif alam semula jadi digunakan sebagai menghargai alam ciptaan tuhan.

“Yang penting mereka hendak berjaya dalam bidang ini adalah kemahiran dan ketekunan. Walaupun tidak dilahirkan menjadi karyawan, tetapi sebenarnya seni sebegini boleh dipelajari atau setidak-tidaknya kita menjadi penilai seni yang bijak,” katanya.

Menurut graduan Seni Halus Universiti Sains Malaysia (USM) ini, beliau berharap melalui usaha ini, pencapaian pelajar sekolahnya dalam subjek berkenaan dengan purata 98 peratus mendapat keputusan baik setiap tahun dapat dikekalkan.

Antara anugerah pernah diterima Mat Aris ialah Johan Pertandingan Mencipta Logo Persidangan Kebangsaan Pengetua-pengetua Sekolah Menengah Malaysia (PKPSM) Peringkat Kebangsaan dan Peringkat Negeri 2007 serta Johan mencipta Poster Kempen Membaca MPIK 1989.

Manakala karya dihasilkannya mendapat tempat untuk dipamerkan seperti di Galeri Maybank, Pameran CHOGEM di Galeri APS, Pameran Seni Lukis Terbuka Pesta Pulau Pinang dan Pameran Proses Pusat Seni USM.

Terdahulu, hasil seni oleh pelajar sekolah itu bersifat tiga dimensi seperti arca turut dipamerkan.

Sinar Harian: 3 Oktober 2009

Tiada ulasan: