Isnin, 5 Oktober 2009

Bangunan PPD baru siap 2011

RAUB – Pejabat Pelajaran Daerah Raub bakal berpindah ke lokasi baru apabila bangunan pentadbiran barunya siap dibina menjelang 2011.

Pegawai Pelajaran Daerah, Wan Abdul Hamid Wan Muhammad berkata, peruntukan sebanyak RM6.5 juta disediakan dalam rancangan Malaysia ke-9 (RMK9) bagi menempatkan bangunan pentadbiran PPD baru yang lengkap, di lokasi bersebelahan PPD ketika ini.

“Diharap kemudahan terbaru ini nanti dimanfaatkan sebaik mungkin agar dapat digunakan berpanjangan dan sentiasa berada dalam keadaan baik,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menghadiri majlis sambutan Aidilfitri peringkat daerah kelmarin.

Majlis bermula seawal jam 10 pagi berakhir jam 1 tengah hari dengan kehadiran pengunjung dari seluruh pelosok daerah.

Menurut Wan Abdul Hamid, program berkenaandilaksanakan bertujuan meraikan warga pendidik seluruh daerah serta keluarga mereka.

Menurutnya, program seumpama itu dijadikan medan merapatkan hubungan dan mengeratkan silaturahim antara warga pendidik dengan masyarakat setempat di seluruh daerah.

“Aktiviti ini tidak dapat dilaksanakan dengan jaya tanpa kerjasama warga PPD, Persatuan Kebangsaan Pengetua Sekolah Menengah (PKPSM), Majlis Guru Besar (MGB), Kelab Pembantu Tadbir dan Persatuan Pembantu Makmal Daerah.

“Terima kasih diucapkan kepada semua pengunjung yang menjayakan aktiviti ini, di samping memberi ruang untuk kami mendekati masyarakat dalam suasana penuh kemeriahan,” katanya ketika ditemui di sini.

Wan Abdul Hamid berkata, jawatankuasa penganjur dan pengunjung perlu memanfaatkan peluang bersama sahabat handai dan kenalan untuk bertukar-tukar pandangan bagi memupuk kebaikan bersama pada masa akan datang.

Menurutnya, amalan saling mengunjungi ini perlu dijadikan tradisi mengeratkan hubungan dan diperkenalkan kepada generasi akan datang sebagai elemen utama menjayakan gagasan 1Malaysia.

“Tidak ada perkara yang lebih menarik, selain melihat pelbagai rumpun bangsa duduk semeja berkongsi pengalaman menikmati juadah bersama dalam satu majlis budaya seperti ini.

“Kita juga mengharapkan suasana ini dapat diperkembangkan dari semasa ke semasa demi pembangunan organisasi negara dalam pimpinan generasi seterusnya,” katanya.

Sinar Harian: 5 Oktober 2009

Tiada ulasan: