Sabtu, 3 Oktober 2009

Sambutan Hari Raya peringkat SK Sri Wangi meriah

GUA MUSANG – Pelbagai juadah disediakan pada sambutan Aidilfitri peringkat Sekolah Kebangsaan (SK) Sri Wangi, termasuk lagu dan pakaian raya yang dipakai murid serta guru memeriahkan majlis tersebut, kelmarin.

Naib Pengerusi Program, Siti Remlah Kadir berkata, sambutan Aidilfitri diadakan pada peringkat sekolah bertujuan mengeratkan silaturahim antara guru-guru serta murid-murid.

Menurutnya, pada masa yang sama, ibu bapa juga turut dijemput menghadiri sambutan ini ke arah mengeratkan hubungan dua hala antara guru dan ibu bapa.

“Pelaksanaan program juga diharap mampu menyemai nilai-nilai murni di kalangan murid-murid seperti kerjasama, hormat menghormati guru serta mengingati jasa dan bakti guru.

“Pada masa yang sama, kita mampu mencungkil bakat dalam kalangan murid terutamanya dalam persembahan pentas,” katanya kepada :Sinar Harian: ketika ditemui pada Majlis Sambutan Aidilfitri Peringkat SK Sri Wangi, kelmarin.

Siti Remlah berkata, pada majlis ini murid-murid membuat pelbagai persembahan pentas seperti dikir barat, nyanyian, persembahan sketsa dan pelbagai lagi.

Menurutnya, sambutan yang diadakan itu menjadi majlis serampang dua mata iaitu di samping meraikan Aidilfitri dan pada masa yang murid-murid dapat mengetengahkan bakat masing-masing.

“Berdasarkan kepada persembahan yang di ketengahkan pada hari ini, kebanyakan murid mampu mengetengahkan kebolehan masing-masing, pada masa yang sama ia turut memberi dorongan kepada murid untuk menjadi lebih berani berhadapan dengan masyarakat umum.

“Tanpa keberanian, murid-murid agar sukar untuk mengetengahkan bakat serta kebolehan kepada masyarakat umum,” katanya.

Siti Remlah berkata, bagi menjayakan majlis ini, guru-guru bekerjasama menyediakan juadah dengan masing-masing membawa aneka kuih muih untuk dihidangkan.

Sinar Harian: 3 Oktober 2009

Tiada ulasan: