KERINCHI – Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sri Pantai menganjurkan majlis Anugerah Kecemerlangan Kokurikulum semalam bagi menghargai sumbangan dan jasa yang dicurahkan oleh guru, pelajar dan kakitangannya.
Sebanyak 53 kelab dan persatuan terdiri daripada Lembaga Pengawas Sekolah, Persatuan Tingkatan Enam, Kelab Setia Rukun Negara, Ahli Jawatankuasa Rumah Sukan, Koperasi dan sebagainya menerima anugerah tersebut.
Pengetua Kanan, Hamidah Abdul Latiff berkata, pelajar yang turut mengharumkan nama sekolah dalam pertandingan, sukan, badan uniform sama ada di peringkat sekolah, daerah dan negeri serta kebangsaan turut diberikan penghargaan.
Menurutnya, antara senarai penerima tersebut terdiri daripada pasukan bola baling bawah 15 tahun yang mendapat empat pertama Zon Bangsar, pasukan sepak takraw yang mewakili negeri ke peringkat kebangsaan selain daripada peserta dikir barat yang memenangi tempat pertama Zon Bangsar.
“Majlis tersebut adalah bukti kejayaan pelajar dalam pelbagai bidang yang diceburi dan peranan guru yang semakin penting dan mencabar,” katanya.
Beliau berkata, tanggungjawab guru semakin berat kerana memikul amanah dan tanggungjawab untuk membina generasi masa depan yang mapan serta boleh digarap sebagai modal insan bertaraf dunia sekaligus mengisi tuntutan negara menjelang 2020.
“Generasi yang mahu dilahirkan daripada sistem pendidikan pada hari ini adalah generasi yang cemerlang secara holistik, justeru itu guru mesti bertindak secara aktif, kreatif dan inovatif,” katanya.
Manakala tanggungjawab generasi akan datang pula bukanlah sekadar mengekalkan kecemerlangan masa lalu, namun mereka juga mesti membuktikan keupayaan untuk membina masa depan yang penuh gemilang.
“Tanggungjawab yang dipikul oleh pelajar hari ini adalah peranan yang perlu mereka yang bakal memimpin umat dan negara pada masa akan datang,” katanya.
Hamidah turut menetapkan sasaran yang lebih tinggi untuk lebih banyak kecemerlangan yang akan diperoleh lebih-lebih lagi di peringkat antarabangsa pada masa akan datang.
“Walaupun laluannya sukar, namun ia tidak mustahil untuk direalisasikan dan tumpuan yang lebih serta latihan yang berterusan di samping usaha yang gigih untuk membangunkan kemahiran yang tinggi dalam kalangan warga SMK Sri Pantai,” katanya.
Sementara itu, sijil penghargaan turut disampaikan kepada penerima yang terdiri daripada jurulatih dan ahli komuniti yang banyak memberikan sumbangan dan mereka terdiri daripada jurulatih pasukan sepak takraw, jurulatih pasukan kadet bomba dan sebagainya.
:Majlis perasmian dan penyampaian anugerah disempurnakan Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) sekoalh berkenaan, Profesor Datuk Dr Abdul Latif Abu Bakar.
Sinar Harian: 3 Oktober 2009
Sabtu, 3 Oktober 2009
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan