Sabtu, 3 Oktober 2009

Kempen Keselamatan Jalan Raya tingkat kesedaran

BANGSAR – Kempen Keselamatan Jalan Raya anjuran Rakan Muda, Kementerian Belia dan Sukan dengan kerjasama Pejabat Pelajaran Daerah (PPD) Bangsar/Pudu, Kementerian Pelajaran Malaysia mampu meningkatkan kesedaran terhadap penunggang motosikal.

Seramai 160 peserta terdiri daripada pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Victoria, SMK Seri Sentosa, SMK Seri Pantai dan SMK Taman Tun Dr Ismail (TTDI) menyertai kempen tersebut yang diadakan di PPD Bangsar/Pudu.

Penyelarasnya, Mohamad Seman berkata, misi kempen untuk mewujudkan penunggang motosikal dalam kalangan pelajar dengan tunggang selamat dan sempurna selain memberikan pendidikan tunggangan yang terkini dan berhemah.

Menurutnya, pendidikan tunggangan yang diperoleh peserta juga dapat melahirkan pelajar yang berakhlak, bersopan dan sentiasa mematuhi undang-undang sewaktu menunggang motosikal di jalan raya.

“Pelbagai aktiviti diadakan sepanjang kempen berlangsung antaranya demonstrasi cara mengikat topi keledar dengan betul dan menunggang dengan kelajuan motosikal pada tahap yang ditetapkan.

“Selain itu, mereka juga didedahkan dengan penggunaan pakaian pandu cahaya supaya senang dilihat oleh pengguna jalan raya yang lain,” katanya.

Beliau berkata, taklimat mengenai teknik tunggangan seperti membuat laluan ‘slalon’ iaitu pergerakan motosikal ke arah kiri dan kanan dan teknik penggunaan brek, serta teknik menunggang dengan kelajuan perlahan dan juga laluan lurus.

“Peserta juga didedahkan dengan pengetahuan tentang fizikal dan fungsi motosikal seperti penggunaan petrol, tayar, brek, bateri, enjin, bateri, rantai motor, lampu dan juga cermin sisi,” katanya.

Sementara itu, Kaedah Menunggang Motosikal Dengan Bijak dan Selamat dikendalikan oleh syarikat pemotoran bekas pelumba Cub Prix Malaysia, Wazi Abdul Hamid menerusi Wazi Boyz.

“Turut diadakan tayangan video tentang kemalangan ngeri yang berlaku sebagai satu peringatan untuk memberikan keinsafan kepada penunggang supaya lebih berhati-hati di jalan raya.

“Mereka juga diberikan pengetahuan terhadap langkah-langkah yang perlu diambil sekiranya berlaku sesuatu kecemasan,” katanya.

Antara lain menurutnya, matlamat kempen untuk meningkatkan kesedaran dan tahap keselamatan pelajar di jalan raya, mempersiapkan pelajar sebagai pengguna jalan raya yang berhemah dan juga mempertingkatkan pengetahuan tentang kaedah asas tunggangan motosikal.

“Kempen sedemikian dijalankan bagi semua sekolah secara berperingkat-peringkat bagi seluruh negara secara menyeluruh bagi memberi kesedaran kepada penunggang motosikal khasnya golongan pelajar sekolah,” katanya.

Peserta daripada SMK Seri Pantai, Mohd Faiz Baharudin berkata, program julung kali yang disertainya itu mampu menyedarkan diri khususnya para pelajar-pelajar agar menghindari gejala negatif seperti ‘Mat Rempit’.

“Program tersebut mampu menyedarkan saya dan rakan-rakan lain tentang keselamatan diri selain berpeluang menimpa ilmu menunggang motosikal dengan cara yang betul dan menjadi penunggang motosikal yang lebih berdisiplin di atas jalan raya,” katanya.

Sinar Harian: 3 Oktober 2009

Tiada ulasan: