Sabtu, 3 Oktober 2009

Kunjungan Karangkraf di SMK Tunku Besar Burhanuddin

SERI MENANTI – Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tunku Besar Burhanuddin menerima kunjungan Kumpulan Karangkraf pada majlis penyera-han sumbangan bahan bacaan sempena program Sahabat Zoom Malaysia Libur.

Pelajar dikenali sebagai Haris berkata, kunjungan Karangkraf bertujuan memberi sumbangan bahan bacaan kepada sekolah adalah tindakan bagus untuk menambah sumber bacaan di sekolah terbabit sebagai rujukan terutama kepada pelajar Penilaian menengah Rendah( PMR) dan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Katanya, bahan bacaan itu mampu memberi panduan kepada calon PMR dan SPM yang bakal menghadapi peperiksaan hujung tahun ini.

“Saya harap hubungan terjalin antara Kumpulan Karangkraf dan pihak sekolah dapat diteruskan pada masa akan datang,” katanya.

Selain itu, difahamkan, majalah Libur terbitan Kumpulan Karangkraf diiktiraf sebagai penyumbang terbaik mempromosikan tempat menarik di negara ini dan jelajah berkenaan dengan kerjasama Kementerian Pelancongan.

Berikutan itu, majalah Libur memilih kawasan Seri Menanti sebagai pusat pelancongan di daerah Kuala Pilah dengan memiliki Istana Lama Seri Menanti berusia 100 tahun.

Kehadiran mereka ke sekolah berkenaan untuk menerapkan semangat cintakan tempat dan warisan sejarah kepada pelajar sebagai tarikan pelancong ke kawasan Seri Menanti.

Hadir sama, Pengetua SMK Tunku Besar Burhanuddin, Mohd Sazali Sam; Pengurus Komunikasi Korporat Kumpulan Karangkraf, Hashim Anang dan Pengarang Libur, Azlie Halim.

Sinar Harian: 3 Oktober 2009

Tiada ulasan: