KUALA LUMPUR 6 Okt. - Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) menyambut baik penggredan baru untuk peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).
Setiausaha Agungnya, Loke Yim Pheng berkata, pihaknya menyambut baik keputusan kementerian itu kerana menyedari keberkesanan sistem penggredan baru tersebut.
"Sebenarnya sistem penggredan baru ini adalah satu sistem lama yang diperkenalkan semula.
"Oleh kerana ia praktikal dan berkesan untuk menilai prestasi sebenar pelajar, maka sebab itu kerajaan menukar semula sistem ini," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.
Semalam, Ketua Pengarah Pelajaran, Tan Sri Alimuddin Mohd. Dom mengumumkan sistem penggredan baru bagi pelajar SPM dan menggantikan sistem penggredan yang lama.
Sistem itu akan mula dilaksanakan tahun ini dan semua pengetua di seluruh negara telah dimaklumkan agar memberi penerangan kepada calon-calon yang akan menduduki SPM tahun ini.
Dalam pada itu, Yim Pheng berkata, sekolah-sekolah di luar negara juga mengamalkan sistem penggredan yang sama dan memang terbukti ia berkesan
"Ini juga akan memudahkan kementerian menilai prestasi pelajar dengan lebih tepat.
"Sebagai contoh, sebelum ini, pelajar yang mendapat 80 peratus juga akan mendapat gred A sama dengan pelajar yang mendapat 99 peratus, tetapi kini dengan sistem baru kita sudah ada tiga peringkat A iaitu A+, A dan A-," jelasnya.
Sehubungan itu, Yin Pheng berkata, cara itu akan membuatkan para pelajar lebih kuat bersaing antara satu sama lain.
Utusan Malaysia Online: 7 Oktober 2009
Tiada ulasan:
Catat Ulasan