Rabu, 7 Oktober 2009

Sains sukan perlu dipraktikkan di sekolah rendah - Tengku Abdullah

TEMERLOH 6 Okt. - Pembangunan sains sukan perlu dimulakan di peringkat sekolah rendah untuk merealisasikan cita-cita negara melahirkan atlet bertaraf dunia.

Tengku Mahkota Pahang, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah bertitah, selain memerlukan prasarana sukan berkualiti, sekolah rendah juga perlu mempunyai pembangunan sukan yang terancang.

Titah baginda, sekolah merupakan institusi penting dalam mencungkil dan mengasah bakat atlet sebelum mereka diketengahkan di peringkat lebih tinggi.

''Pembangunan sukan di peringkat sekolah rendah tidak boleh dibuat sambil lewa jika kita bercita-cita untuk melahirkan ahli sukan bertaraf dunia.

''Walaupun pembangunan sains sukan merupakan subjek baru tetapi ia penting untuk diterapkan di peringkat sekolah rendah kerana ia terbukti mampu melahirkan ahli sukan berkualiti di negara-negara maju dalam pelbagai bidang sukan," titah baginda.

Baginda bertitah demikian kepada pemberita selepas menutup Seminar Periodisasi Persatuan Sukan Pahang di Dewan Tun Razak di sini semalam.

Turut hadir Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Saifuddin Abdullah; Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan negeri, Datuk Wan Adnan Wan Mamat dan Yang Dipertua Persatuan Olahraga Amatur Temerloh (POAT), Datuk Ismail Mohamed Said.

Seminar itu dihadiri lebih 500 peserta daripada pelbagai persatuan sukan seluruh negeri dengan sembilan pembentang kertas kerja yang terdiri daripada pakar perunding sukan dari Institut Sukan Negara dan institusi pengajian tinggi awam (IPTA).

Menurut baginda, masih terdapat banyak sekolah yang kurang memberikan perhatian bagi melaksanakan pembangunan sains sukan secara serius.

''Saya dimaklumkan masih terdapat guru jasmani yang tidak pernah bermain bola sepak mengajar muridnya bersukan dan ada juga guru yang langsung tidak tahu teknik permainan hoki tetapi melatih pelajarnya bermain hoki," tegas baginda.

Dalam perkembangan berkaitan, Tengku Abdullah turut menyeru supaya seorang ahli sukan dilahirkan dalam setiap keluarga.

Sehubungan itu, baginda meminta semua ibu bapa memainkan peranan bagi membantu negara melahirkan ahli sukan bertaraf dunia.

''Kita perlu mengubah minda bahawa sukan tidak mempunyai masa hadapan. Sebenarnya sukan kini bukan lagi sukan semata-mata tetapi telah menjadi sebahagian daripada perniagaan dan pemindahan teknologi yang bernilai berbilion ringgit.

''Oleh itu, kita perlu merebut peluang tersebut kerana kita lihat ramai ahli sukan dunia kini sudah menjadi jutawan," titah baginda.

Menurut Tengku Abdullah, masyarakat tidak lagi boleh mengharapkan sekolah semata-mata untuk melahirkan ahli sukan.

''Sebaliknya kita perlu bertanya kepada diri sendiri apakah sumbangan kita kepada sukan negara'," titah baginda.

Utusan Malaysia Online: 7 Oktober 2009

Tiada ulasan: