Isnin, 5 Oktober 2009

PPKI mula ‘tuai’ hasil

PASIR PANJANG – Lebih 300 ekor ikan patin hasil projek ekonomi perikanan di bawah Program Pendidikan Khas Integriti (PPKI), Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Dato Mustaffa berjaya dituai, sempena majlis menuai ikan patin di sini, semalam.

Pengetua Sekolah, Abdul Hamid Hassan berkata, projek perikanan hasil bantuan Jabatan Perikanan daerah itu adalah program kedua, selepas kejayaan penternakan ikan keli yang dilaksanakan tahun lalu.

Menurutnya, ia merupakan sebahagian program komuniti sekolah, menekankan aspek pembelajaran ekonomi yang dijayakan bersama Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) dan jabatan.

“Selain perikanan, sekolah ini juga mempunyai dua program ekonomi lain iaitu masakan, tumpuan dalam pembuatan kek dan pertanian melibatkan penananam sayuran seperti bendi, kacang panjang dan sebagainya,” katanya ketika ditemui pada majlis menuai ikan patin di sini.

Majlis menuai ikan patin disempurnakan Yang Dipertua PIBG, Mardi Sukir.

Abdul Hamid berkata, melihat perkembangan projek itu, sekolah akan meluaskan kawasan pertaniannya untuk memberi lebih ruang kepada pelajar bertani.

“Semua hasil yang diperolehi setakat ini, dijual melalui edaran dalam sekolah sahaja membabitkan guru dan kakitangan sekolah,” katanya.

Melalui program ekonomi, kata beliau, sekolah dapat melihat perkembangan positif pelajar PPKI.

Pelajar, menurutnya, lebih semangat untuk hadir ke sekolah.

“Meskipun mereka mempunyai kekurangan tersendiri dalam akademik, dengan program ini mereka lahir lebih berkeyakinan dan sekolah secara tidak langsung menjadikan mereka pengusaha yang berjaya di masa akan datang,” katanya.

Sementara itu, ketua pelajar, murid pendidikan khas, Mohd Taufik Mohd Sani berkata, program berkenaan mengajar mereka erti kerjasama dan muafakat antara satu sama lain.

“Waktu petang, kami akan gotong-royong membersihkan kolam dan kebun, aktiviti ini menjadikan kami seronok dan semangat untuk ke sekolah,” katanya.

Sinar Harian: 5 Oktober 2009

Tiada ulasan: