Rabu, 9 September 2009

Ambil serius langkah cegah H1N1



KUANTAN - Sekolah diingatkan supaya tidak memandang remeh soal pencegahan virus Influenza A (H1N1) di sekolah, terutama kepada calon Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) yang mula menduduki peperiksaan itu semalam.

Pengarah Jabatan Pelajaran Pahang, Datuk Abdul Aziz Abdul Latiff berkata, pemeriksaan suhu badan dan pemakaian topeng muka perlu dititikberatkan bagi mengelak sebarang kejadian tidak diingini.

Menurutnya, sepanjang tiga hari peperiksaan berlangsung, calon dikehendaki berkumpul untuk melalui sesi pemeriksaan suhu badan dan pemberian topeng muka.

“Suhu badan calon akan diperiksa pegawai peperiksaan bertugas dan mereka turut dibekalkan topeng muka.

“Pemakaian topeng muka kepada calon yang kurang sihat diwajibkan dan guru bertugas perlu prihatin terhadap situasi berkenaan,” katanya ketika ditemui hadir pada Sekolah Kebangsaan Tunku Azizah, di sini, semalam.

Pada majlis itu, Abdul Aziz turut melakukan pemeriksaan suhu badan kepada 72 calon UPSR sekolah berkenaan, selain turut memberi kata semangat kepada murid.

“Saya berharap peringatan ini tidak dipandang ringan pihak sekolah, kerana langkah pencegahan penting untuk mengelak penularan virus H1N1, terutama dalam kalangan warga sekolah,” katanya.

Seramai 28,226 calon seluruh negeri Pahang menduduki UPSR membabitkan 546 pusat peperiksaan bermula semalam.

Sementara itu, Guru Besar SKTA, Maznah Zainun Mohd berkata, sekolah mengambil berat aspek penjagaan kesihatan murid dan langkah pencegahan sememangnya diamalkan di sekolah itu.

“Pemakaian topeng muka diwajibkan kepada murid yang mengalami selesema dan demam sebagai langkah awal mengelak penularan virus H1N1,” katanya.

Sinar Harian: 9 September 2009

Tiada ulasan: