Sabtu, 19 September 2009

Ganjaran khas pendidik

PORT DICKSON 18 Sept. - Kerajaan akan mengumumkan satu bentuk ganjaran khas kepada seluruh warga pendidik berdasarkan prestasi mereka menjelang Oktober ini.

Timbalan Menteri Pelajaran, Dr. Mohd. Puad Zarkashi (gambar) berkata, ia selari dengan hasrat kerajaan mempertingkatkan akses pengajaran dan pendidikan berkualiti di negara ini.

''Ia masih pada peringkat penelitian yang kini sudah hampir 90 peratus selesai dibincangkan di bawah perincian Bidang Keberhasilan Utama Negara ketiga (NKRA-3).

''Saya yakin ia akan diumumkan sendiri oleh Menteri Pelajaran, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada bulan depan," kata beliau.

Mohd. Puad berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri program perjumpaan khas bersama warga pendidik daerah Port Dickson di sini malam tadi.

Beliau memberitahu, ganjaran itu akan diberikan kepada sekolah, pengetua dan guru di seluruh negara yang mempamerkan prestasi cemerlang.

''Mana-mana sekolah, guru besar, pengetua dan guru yang menunjukkan prestasi cemerlang, layak untuk diberikan ganjaran berkenaan.

''Inisiatif ini adalah untuk memberikan ganjaran kepada warga pendidik yang komited dalam membantu kerajaan bagi membentuk sekolah berprestasi tinggi menjelang 2012,'' katanya.

Menurutnya, dengan ganjaran itu, warga pendidik tidak lagi perlu memikirkan atau menunggu pemberian bonus serta kenaikan pangkat.

Dalam perkembangan lain, Mohd. Puad memberitahu, kementerian itu akan mewujudkan sebuah unit khas dalam memperincikan soal pembangunan pendididkan luar bandar.

''Menerusi unit ini, kita yakin ia mampu merapatkan jurang pendidikan antara sekolah di bandar dan luar bandar.

''Unit ini juga akan berfungsi mempertingkatkan bukan sahaja keadaan fizikal sekolah di luar bandar dari segi infrastruktur dan kemudahan malah termasuk soal pemantapan pengisian pendidikan di kawasan terlibat," jelas Mohd. Puad.

Utusan Malaysia Online: 19 September 2009

1 ulasan:

Tan berkata...

Guru-guru Pra yang dihormati;

Setiap anak murid kita mempunyai kebolehan membaca. Sebagai guru pra kita tanya diri sendiri adakah kita sanggup memperuntukan masa lebih sikit kepada murid pra. setiap hari masa pembelajaran di pra adalah sebanyak 3 jam 1/2, ini adalah masa yang telah ditetapkan. tetapi guru pra bersama anak murid dari 7:00 pagi dan balik pukul 12:00. Pada masa inilah anak murid bermain, mempelajari berinteraksi dengan kawan, belajar. Semasa belajar, guru pra duduk mendekati dengan anak murid, mendekati suara kita untuk mereka, membaca bersama mereka. Waktu pembelajaran latihkan diri sendiri melakukannya. Lama-kelamaan suara yang kita keluarkan adalah seperti doa. Perbendaharaan kata akan didengari oleh anak murid, saya yakin murid akan pandai membaca. Janganlah kita labelkan anak murid kita "tidak boleh","xxxx". kita sebagai guru mesti mempunyai keyakinan yang tinggi kerana mereka datang dengan harapan dan ingin pulang dengan Ilmu.

Sekiranya kita masih ada dua kaki, dua tangan, ada suara, ada hayat lagi,apa salahnya membantu anak murid kita. Lebihkan masa bersama mereka. Keluarkan daya usaha tulang empat kerat ini, apa yang terdaya, keluarkan.selaginya kita mampu kita mesti lakukan. Jangan merungut, jangan putus asa, kita mesti berani merempuhi segala rintangan. Kita buat yang terbaik untuk anak murid kita. Hati kita akan gembira melihat mereka boleh membaca, mengira, menulis.
Bersyukur benar-benar denganNYA.

Dari;
Luahan hati guru pra
Tan