KUPANG – Sekolah Kebangsaan (SK) Kupang dan Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan Cina (SRJKC) Seng Yok mengadakan Program Rancangan Integrasi Murid Untuk Perpaduan (Rimup) peringkat sekolah.
Guru Besar, SK Kupang, Abdul Rahim Hasan berkata, antara salah satu aktiviti Rimup iaitu aktiviti Majlis Jamuan Hari Raya bagi mengeratkan silaturahim bersama dengan sekolah lain.
Menurutnya, ia dapat menggalakkan penyertaan masyarakat setempat, guru dan murid serta warga sekolah dari peringkat sekolah rendah hingga sekolah menengah dalam kegiatan khas secara bersama.
“Secara tidak langsung, ia dapat mewujudkan sikap kerjasama tolong-menolong dan melahirkan suasana muhibah secara terancang.
“Sifat positif inilah yang perlu diterapkan dalam diri murid ini supaya mereka lebih berdisiplin dan menjadi orang yang berguna di masa hadapan,” katanya kepada Sinar Harian di Majlis Jamuan Hari Raya yang diadakan di Sk Kupang, semalam.
Abdul Rahim berkata, aktiviti tersebut dapat melahirkan persefahaman dan toleransi antara murid pelbagai kaum di sekolah dan saling bertukar pendapat.
Sementara itu, Guru Besar SRJKC Seng Yok, Liew Lee Lee berkata, program yang diadakan peringkat sekolah ini dapat melahirkan generasi muda yang berilmu pengetahuan, memiliki jiwa dan peribadi yang unggul dan mampu menghadapi cabaran yang lebih meluas.
Menurutnya, program Rimup yang diaturkan oleh kerajaan ini sememangnya begitu memberikan kesan yang positif khususnya murid di sekolah.
“Saya percaya, adanya kerjasama daripada semua pihak ini, pasti murid di sekolah ini yang kebanyakan adalah golongan sederhana dapat membuktikan kejayaan yang lebih cemerlang.
“Apa yang penting, guru-guru di sekolah ini, sentiasa berusaha sedaya-upaya untuk memastikan murid-murid di sekolah ini mendapat keputusan yang lebih baik,” katanya.
Dalam pada itu, seramai 700 murid yang hadir dan masing-masing memakai baju raya dan membawa kuih raya di majlis tersebut.
Sinar Harian: 29 September 2009
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan