Sabtu, 19 September 2009

Contohi SKKT bantu murid susah


SHAFI Manan (tiga dari kanan) menyampaikan bantuan kepada murid kurang upaya, Mohd. Khoikal Shahari pada majlis sumbangan kepada 110 murid miskin di SKKT Johor Bahru, baru-baru ini.


JOHOR BAHRU 18 Sept. - Usaha murni Sekolah Kebangsaan Kangkar Tebrau (SKKT) di sini harus dijadikan contoh dan diberi pujian kerana menubuhkan Tabung Amal Aidilfitri bagi membantu murid-murid daripada keluarga miskin dan anak yatim.

Setelah berjaya mengumpul sumbangan daripada guru, kakitangan serta ibu bapa dan murid-murid, SKKT berjaya memperoleh dana berjumlah RM12,525.

SKKT baru-baru ini menyampaikan sumbangan kepada 110 murid miskin termasuk 21 anak yatim bagi membantu mereka menyambut Aidilfitri tahun ini.

Penerima diberi sepasang baju raya dan duit raya bagi menceriakan sambutan 1 Syawal nanti.

Bantuan kepada murid-murid berkenaan disampaikan oleh Naib Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) SKKT, Shafi Manan di dewan sekolah berkenaan.

Turut hadir Guru Besar SKKT, Harun Abdullah dan Guru Penolong Kanan 1 SKKT, Nurul Ain Hussein.

Shafi berkata, majlis tersebut diadakan dengan kerjasama PBIG SKKT untuk membantu murid-murid daripada keluarga miskin serta anak yatim.

Program itu juga diharap dapat memupuk semangat prihatin dan saling membantu di kalangan murid-murid sekolah berkenaan pada masa akan datang, katanya.

Utusan Malaysia Online: 19 September 2009

Tiada ulasan: